Kaji baik, buruk pemain naturalisasi – Rajagobal - Utusan Malaysia

Kaji baik, buruk pemain naturalisasi – Rajagobal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEKAS jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meneliti dari pelbagai sudut sebelum mengambil keputusan untuk memanggil pemain naturalisasi mewakili skuad Harimau Malaya pada masa depan.

Rajagobal yang di­anggap sebagai jurulatih paling berjaya buat skuad bola sepak negara percaya perbincangan mengenai rancangan untuk mengambil pemain naturalisasi ini sejajar dengan arus peredaran zaman.

“Agak sukar buat saya sama ada untuk katakan keputusan tersebut akan berikan lebih keburukan atau kebaikan. Saya akui pernah membantu skuad negara menjuarai Piala AFF (Kejohanan Bola Sepak Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN) tanpa bantuan pemain naturalisasi.

“Mungkin kerana pada waktu itu ada beberapa faktor pen­ting seperti saya sudah membentuk dan bersama pemain-pemain tersebut ketika mereka masih ber­usia 17 tahun sehingga mereka matang dan percaya de­ngan barisan jurulatih.

“Malah, ketika itu tiada siapa membincangkan isu naturalisasi. FAM perlu teliti dan melihat dari pelbagai aspek sama ada ia bagus atau tidak untuk masa depan bola sepak negara,” katanya kepada pemberita semalam.

Rajagobal yang juga ketua jurulatih PKNS FC ditemui pemberita selepas menyaksikan pasukannya menang 4-1 ke atas Perak pada aksi terakhir saingan Liga Super di Stadium Shah Alam kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, Bruno Matos menjadi wira buat pasukan The Red Ants selepas meledak dua gol, manakala dua lagi jaringan masing-ma­sing menerusi Rafael Ramazotti dan Romel Oswado, manakala Perak meraih gol sagu hati menerusi Gilmar Da Silva.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Rajagobal mengakui sangat berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya apabila menutup tirai Liga Super de­ngan tiga mata penuh.

“Selepas saingan liga tamat, saya mahu tumpuan pemain terarah kepada aksi Piala Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi,” kata pengendali berusia 62 tahun itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN