VANUATU 11 Julai – Seorang juruterbang daripada Vanuatu Helicopters berjaya merakamkan secara dekat lahar Gunung Berapi Benbow Crater yang sedang menggelegak di Pulau Ambrym.
Dalam rakaman video yang mencemaskan itu, kaki Andy Martin dilihat berada amat hampir di tebing kawah yang mengandungi lahar.
Rakaman selama satu minit itu juga menunjukkan sekali imbas lahar berkenaan yang menggelegak dalam kawah yang terletak di atas salah satu daripada sejumlah gunung berapi di Pulau Vanuatu.
Ketika rakaman yang dibuat pada 5 Julai lalu, Martin bergantung pada tali yang merentasi gunung berapi berkenaan, lapor portal Daily Mail.
Aksi berani lelaki itu mungkin mengejutkan beberapa pihak, namun ini bukan merupakan kali pertama individu tertentu mengambil gambar tasik lahar Ambrym untuk mendapatkan sudut yang terbaik.
Pada Oktober 2016, jurugambar dan jurupandu ekspedisi, Chris Horsley menakik turun ke bahagian bawah sebuah lagi kawah di Ambrym iaitu Marum dan memasang khemah selain bermalam selama satu malam bersebelahan tasik lahar itu.
Pada 2015, seorang pendaki gunung, Nik Halik berjaya mengambil swafoto yang menarik di hadapan lahar yang sedang membuak-buak di Benbow.
Pulau Ambrym merupakan sebahagian daripada gugusan gunung berapi yang aktif di Pulau Vanuatu yang terletak di bahagian utara selatan zon benam.
Ambrym, Ambae, Lopevi dan Yasur serta lebih 12 gunung berapi di wilayah itu disenaraikan sebagai ‘dahsyat’ ekoran aktivitinya.
Ambrym meletus dengan letupan yang kuat beberapa kali setiap abad manakala Yasur yang terletak di Pulau Tanna sering meletus sejak dahulu lagi.










