JKKK: Pahang tunggu keputusan Pusat - Utusan Malaysia

JKKK: Pahang tunggu keputusan Pusat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 25 Julai – Kerajaan negeri sedang menunggu perkembangan di peringkat Pusat berhubung isu membabitkan Jawatankuasa Kemajuan dan Kese­lamatan Kampung (JKKK) yang ketika ini terdapat penangguhan terutama daripada segi pembayaran elaun.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, isu melibatkan JKKK itu sama se­perti kakitangan kontrak Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) apabila diumumkan oleh Kerajaan Pusat bahawa jabatan berkenaan dibubarkan.

“Selepas itu, kita di peringkat kerajaan negeri mencari jalan penyelesaikan bagi membantu kakitangan kontrak Jasa di negeri ini dan baru-baru ini Kerajaan Pusat mengumumkan perkara itu akan dikaji semula.

“Sama juga JKKK ini, kita telah bincang dan mengadakan beberapa perancangan. Kita akan ambil tindakan selepas diputuskan Kerajaan Pusat,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Young Syefura Othman (DAP-Ketari) yang ingin tahu berhubung status JKKK di negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, menjawab soalan sama, Pe­ngerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Abd. Aziz Mat Kiram berkata, selepas PRU-14, JKKK diserahkan untuk dikelolakan oleh pentadbiran negeri.

Menurutnya, sebarang keputusan merombak atau mengekalkan institusi JKKK adalah sepenuh­nya tertakluk kepada pentadbiran kerajaan negeri.

“Urusannya adalah tertakluk kepada bidang kuasa negeri ma­sing-masing. Terpulang kepada keputusan kerajaan negeri sama ada JKKK sedi ada dirombak atau dikekalkan.

“Selepas PRU-14, jawatan pe­ngerusi JKKK masih berjalan seperti biasa cuma terdapat pe­nangguhan dari segi elaun,” jelasnya.

Sebelum ini, Kabinet dilaporkan bersetuju agar JKKK dije­namakan semula sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN