MADINAH 12 Julai – Jemaah haji Malaysia dinasihatkan supaya tidak menyorokkan sebarang penyakit yang dihidapi mereka daripada pegawai yang bertugas demi kebaikan diri sendiri.
Menurut pegawai perubatan Tabung Haji, jemaah perlu memaklumkan perkara berkenaan supaya rawatan awal dapat diberikan dan mereka boleh beribadat dengan selesa.
Tambahan pula kata beliau, cuaca pada musim haji tahun ini adalah panas dengan suhu antara 40 hingga 46 darjah Celcius akan menyebabkan jemaah cepat letih dan boleh terkena strok haba.
“Kita minta jemaah haji berisiko tinggi yang ada penyakit kronik supaya mendapat tidur dan rehat yang secukupnya serta makan ubat mengikut arahan doktor,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Tabung Haji Madinah, Dar Aljiffry di sini.
Menurut beliau, Tabung Haji sudah menyiapkan prasarana kesihatan termasuk klinik di setiap tiga zon penginapan jemaah di Madinah.
Katanya, klinik di zon satu terletak di hotel Al-Haram dan zon dua di Hotel Movenpick manakala zon tiga di Hotel Rawdah Al-Aqeeq.
Beliau memberitahu, klinik berkenaan beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 12.30 tengah hari dan disambung pada pukul 4 hingga 6 petang dan 8 hingga 10.30 malam.
“Bahagian kecemasan pula beroperasi 24 jam. Jemaah boleh mendapatkan rawatan di klinik zon di Madinah dan klinik maktab di Mekah,” katanya.
Bagi menghadapi cuaca panas semasa musim haji, beliau menasihatkan jemaah agar minum banyak air kosong, pakai jubah seperti Arab yang nipis dan berwarna cerah bagi pantul haba manakala jemaah wanita elok pakai telekung putih.
Jemaah juga dinasihatkan kurangkan aktiviti luar seperti membeli-belah pada waktu siang dan mendapat tidur serta rehat secukupnya.











