MUMBAI 22 Julai – Jasad beku seorang tentera India ditemukan di glasier Himalaya, selepas askar itu bersama lebih 100 yang lain terbunuh dalam satu nahas pesawat tentera.
Satu pasukan mendaki berkata, mereka turut menemukan serpihan pesawat pengangkut turboprop (berkipas), Antonov An-12 milik Tentera Udara India, yang terhempas pada Februari 1968.
“Kami terjumpa lengan manusia yang terjulur dari ais dengan bahagian badan jasad askar itu dapat dilihat berada di dalam glasier,” kata ketua ekspedisi pendakian, Rajiv Rawat, semalam.
Rawat berkata, pihaknya telah menghubungi tentera India yang sejak itu melancarkan operasi untuk membawa keluar jasad mangsa.
Ekspedisi itu menemukan jasad tentera berkenaan pada altitud kira-kira 5,500 meter di kawasan pergunungan Himalaya.
Penemuan semalam adalah yang kelima bagi jasad tentera yang terbabit nahas pesawat pengangkut itu selepas beberapa dekad operasi mencari mangsa nahas yang gagal membuahkan hasil.
Kali terakhir jasad askar India itu ditemukan adalah pada 2013.
Sebanyak 102 orang terbunuh dalam nahas itu termasuk 98 anggota tentera.
Pesawat itu dalam perjalanan ke lapangan terbang di Kashmir namun gagal mendarat dalam keadaan cuaca buruk dan terputus hubungan di kawasan lembah Spiti di utara jauh India. – AFP










