Jangan sabotaj SST, Guan Eng beritahu Senator pembangkang - Utusan Malaysia

Jangan sabotaj SST, Guan Eng beritahu Senator pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengingatkan blok pembangkang di Dewan Negara supaya tidak mensabotaj Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dilaksanakan bermula 1 September depan.

Beliau berkata, negara akan menghadapi masalah kewangan sekiranya SST gagal dilaksana seperti yang dijadualkan.

“Sekiranya SST tak boleh dilaksanakan, maka kita akan hadapi satu masalah kewangan kerana mungkin dari segi fiskal kita tak dapat lebihan. Ini (pelaksanaan SST) penting untuk memberi keyakinan kepada rakyat dan pelabur bahawa ekonomi negara lancar,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kemungkinan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 dan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018 tidak diluluskan di peringkat Dewan Negara kerana dewan itu majoritinya dikuasai oleh senator dari Barisan Nasional ketika ini.

Kementerian Kewangan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama bertujuan memansuhkan akta cukai berkenaan serta membentangkan RUU Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 bagi membolehkan pelaksanaan semula SST. – Bernama
 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN