Jangan pandang Jepun sebelah mata - Utusan Malaysia

Jangan pandang Jepun sebelah mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROSTOV-ON-DON, Russia 1 Julai –Penyerang Belgium, Dries Mertens menggesa rakan se­perjuangannya agar tidak memandang Jepun dengan sebelah mata dalam usaha melayakkan diri ke suku akhir Piala Dunia, esok.

Belgium dilabel sebagai kuda hitam dalam kejohanan kali ini, dengan ‘generasi emas’ melakar rekod cemerlang untuk mara ke peringkat kalah mati.

Skuad bimbingan Roberto Martinez menundukkan England 1-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan G, sekali gus mengungguli kedudukan teratas untuk berdepan Jepun di pusingan 16 terakhir.

Mertens bagaimanapun berkata, skuad Red Devils enggan mengulangi episod di suku akhir Euro 2016, yang mana mereka dikejutkan dengan kekalahan kepada Wales 1-3 meskipun Belgium tampil selaku pasukan pilihan.

“Saya masih ingat perlawanan menentang Wales. Semua orang sangka kami dapat menempuhinya tanpa masalah. Namun tiba-tiba kami tersingkir daripada pertandingan.

“Jadi kali ini, kami enggan memandang rendah Jepun kerana mereka pasukan yang kuat.

“Jika mereka berupaya sampai ke tahap ini, bermakna mereka adalah pasukan yang hebat,” ujar Mertens.

Selepas membuat sembilan perubahan bagi berdepan England, Martinez dijangka menurunkan barisan terbaik semasa pertembungan dengan Panama dan Tunisia untuk menentang Jepun nanti.

Dengan sembilan gol setakat ini di Rusia, Belgium merupakan pasukan yang paling banyak membuat jaringan di Piala Dunia itu.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN