PUTRAJAYA – Pasport antarabangsa milik ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low telah dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada malam Hari Raya Aidilfitri, 15 Jun lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pembatalan pasport Jho Low, 36, dibuat atas permohonan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Saya telah dihubungi oleh Datuk Seri Mohd. Shuri yang meminta supaya pasport Jho Low dibatalkan serta-merta.
“Pasport beliau telah dibatalkan, jadi apa-apa tindakan akan diambil di luar negara kerana dia tidak memiliki pasport Malaysia, sekiranya dia mahu ke mana-mana, dia akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa di sana,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Imigresen di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mustafar mengesahkan Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos telah melarikan dari negara ini ke Indonesia melalui laluan tikus di Tanjung Balai.
Menurut beliau, Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan terhadap Jamal sebaik tiba di Malaysia kerana ke luar negara tanpa melalui saluran yang sah.
“Kita akan melihat peraturan tertentu di bawah Akta Imigresen untuk mengambil tindakan ke atas beliau,” katanya. – K! ONLINE











