NORTH CAROLINA 20 Julai – Pakar sejarah Yahudi hari ini mengkritik tindakan Parlimen Israel, Knesset, meluluskan rang undang-undang bahawa Israel adalah negara bangsa Yahudi dan menyifatkannya sebagai ‘amat mendukacitakan’.
Presiden Kursi Sejarah Yahudi di Universiti Wake Forest di sini, Barry Trachtenberg berkata, Israel kini melaksanakan undang-undang ‘negara’ sendiri yang akan meminggirkan kewujudan 20 peratus penduduk Israel berketurunan Arab Palestin.
“Sebagai sejarawan Yahudi Eropah, saya menyifatkan pengumuman ini sangat menyedihkan kerana tidak berapa lama dahulu penduduk Yahudi menolak dasar itu,’’ katanya kepada portal Al-Jazeera.
Menurut beliau, sejarah menunjukkan undang-undang itu akan membawa kepada pengasingan, perkauman, penindasan, pemenjaraan dan penghapusan etnik.
“Tidak akan wujud kesamarataan dalam negara apabila seseorang itu diberi hak berdasar undang-undang dan secara sistematik lebih tinggi daripada yang lain,’’ katanya.
Menurut Trachtenberg, pada awal abad ke-20, golongan Yahudi di seluruh Eropah menuntut diberi hak perlindungan sebagai kumpulan minoriti di tempat tinggal masing-masing.
Katanya, keinginan untuk mencatat sejarah dengan bahasa dan institusi sendiri dikongsi di setiap peringkat penduduk Yahudi termasuk ramai golongan zionis.
Namun banyak negara Eropah tidak mengendahkan permintaan mereka dan terus melihat golongan Yahudi sebagai ‘manusia yang tidak dikehendaki’.
Michel Sabbah, bekas Ketua Paderi dan Ketua Gereja Latin Baitulmuqaddis berkata, undang-undang ‘perkauman’ itu tidak mengejutkannya.
“Undang-undang baharu itu diluluskan kerana pemimpin Israel sekarang adalah golongan ekstrimis dan saya merasakan ini adalah langkah pertama ke arah rancangan lebih besar untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap penduduk Arab,’’ katanya.
Penulis dan ilmuwan Israel, Yossi Klein Halevi memberitahu Al-Jazeera, undang-undang baharu itu adalah `kenyataan provokatif yang tidak wajar yang akan menjejaskan keyakinan diri penduduk Arab yang kini merasakan kedudukan mereka di Israel masih tidak pasti’.
“Undang-undang baharu ini merupakan tindakan menindas. Mungkin ia tidak mempunyai kesan praktikal tetapi secara psikologi ia merosakkan minoriti Arab,’’ yang juga penulis buku paling laris, Letters to My Palestinian Neighbour.
Wartawan Israel, Seth Frantzman berkata, ketika penduduk Israel bukan Yahudi melahirkan kebimbangan terhadap undang-undang berkenaan, penduduk Yahudi Israel pula tidak melihat sebarang perubahan dalam kehidupan harian mereka.
“Di Israel, kamu tidak akan dapat melihat mereka yang teruja atau tidak kerana bagi penduduk Yahudi Israel, undang-undang itu baharu itu hanya memperkukuhkan undang-undang yang telah sedia ada,’’ katanya.
Menurut Frantzman, undang-undang itu tidak membawa sebarang pembaharuan kerana keadaan sama telah wujud sejak penubuhan Israel.










