PENGAJARAN berguna buat pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin selepas dia digugurkan daripada skuad Sukan Asia selepas didapati merokok.
Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menasihatkan Iskandar supaya menilai semula dirinya selain menegaskan, disiplin merupakan kunci utama untuk menjadi pemain berjaya.
Pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu berkata, Iskandar sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada pemain-pemain lain memandangkan dia merupakan antara pemain senior dalam skuad negara.
“Bagi saya, disiplin adalah kunci kejayaan dan paling penting dalam sukan. Perkara inilah yang diajar oleh Datuk Misbun (Sidek) kepada saya sejak berada dalam skuad kebangsaan.
“Seperti yang kita semua tahu, merokok dan sukan tidak boleh digabungkan bersama kerana ia memberi kesan terhadap kecergasan pemain. Saya juga mengakui keputusan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) adalah tepat,” katanya selepas merangkul gelaran Terbuka Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Dalam pada itu, Chong Wei menegaskan, Iskandar perlu sedar bahawa dia bukanlah pemain junior yang berusia 16 atau 17 tahun yang perlu dimarah serta dibimbing setiap hari kerana sudah mampu membuat keputusan sendiri.
Pada masa sama, Misbun yang juga ketua jurulatih perseorangan lelaki negara menegaskan, pengguguran Iskandar daripada skuad Sukan Asia adalah disebabkan masalah disiplin dan bukannya pilih kasih.
“Dia (Iskandar) masih boleh menjadi pemain yang bagus tetapi untuk berada setaraf dengan Chong Wei mungkin sudah terlambat. Bagaimanapun, masih ada ruang untuk menjadi lebih baik berbanding sekarang,” ujarnya.
Kelmarin, BAM memutuskan untuk menjalankan ujian saringan nikotin terhadap semua pemain kebangsaan bagi memastikan mereka bebas daripada rokok selepas Iskandar ‘kantoi’ merokok ketika beraksi pada Piala Thomas, Bangkok, Mei lalu.











