Imigran AS dapat ganti rugi - Utusan Malaysia

Imigran AS dapat ganti rugi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengarahkan kerajaan supaya membayar kos menyatukan semula ibu apa imigran dengan anak mereka selepas dipisahkan oleh pegawai imigresen di sempadan AS-Mexico.

Kerajaan AS masih giat berusaha menyatukan semula kira-kira 2,000 kanak-kanak dengan ibu bapa mereka yang dipisahkan ketika dalam tahanan.

Tindakan pemisahan keluarga itu merupakan sebahagian usaha Presiden AS, Donald Trump menerusi dasar toleransi sifar bagi menghalang kemasukan pendatang ke AS secara haram.

“Ia adalah sesuatu tidak masuk akal kepada ibu bapa yang telah dipisahkan tetapi tidak menerima sebarang bayaran ganti rugi,” kata Hakim Dana Sabraw pada sesi pendengaran kes itu di San Diego.

Sabraw pada Jun lalu memerintahkan supaya kanak-kanak malang itu disatukan semula dengan ibu bapa mereka berkuat kuasa 26 Julai tetapi kerajaan gagal menepati tarikh itu bagi menyatukan keluarga yang terpisah.

Kes itu kemudian dipanjangkan susulan tuntutan mahkamah yang dibawa oleh Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU).

Peguam mereka berkata, ibu bapa imigran dimaklumkan oleh pegawai imigresen bahawa mereka perlu membayar kos perjalanan selain perlu menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan hubungan keluarga sebelum disatukan dengan anak-anak mereka.

Sementara itu, kerajaan berkata, tindakan menyatukan semula itu berjalan perlahan disebabkan keperluan menjalani ujian DNA selain memeriksa latar belakang jenayah ibu bapa serta ke­upayaan mereka menjaga anak masing-masing. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN