TUMPAT 8 Julai – Seramai 98 peserta bermandi peluh dan lumpur menjayakan pertandingan ‘igak ike’ atau tangkap ikan di kawasan bendang padi Kampung Padang Tembesu, di sini semalam.
Acara julung kali anjuran Masjid At-Taqwa Kampung Padang Tembesu berjaya menarik seramai 500 penduduk setempat untuk melihat aksi penuh ‘cabaran dan dramatik’ itu.
Pengarah program Anuar Mohamad berkata, acara ‘igak ike’ itu menjadi platfrom merapatkan semula hubungan dalam kalangan penduduk selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.
“Saya akui hubungan dalam kalangan penduduk sedikit rengang pada musim pilihan raya umum lalu.
“Jadi pihak masjid mengambil ketetapan untuk mengeratkan semula hubungan itu dengan menganjurkan pertandingan ‘igak ike’,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Anuar memberitahu, dia terharu dengan sokongan yang diberikan oleh penduduk kampung dalam menjayakan program berkenaan.
Katanya, apa yang membanggakan penyertaan itu membabitkan semua peringkat umur bermula dari kanak-kanak hinggalah warga emas.
“Program ini dimeriahkan lagi dengan jamuan laksa secara beramai-ramai untuk penduduk dan para peserta yang hadir.
“Disebabkan sambutan yang amat baik maka kami bercadang menjadikan program ini sebagai acara tahunan pada masa hadapan,” katanya.










