Histeria: Pengetua SMK Ketereh ditukar ke jabatan pendidikan - Utusan Malaysia

Histeria: Pengetua SMK Ketereh ditukar ke jabatan pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 19 Julai – Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh di sini yang kecoh akibat kejadian histeria semalam, ditukarkan ke Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan negeri berkuat kuasa hari ini.

Pengetua berkenaan, Norriha Abd. Rahman ditukarkan ke bahagian pentadbiran sebagai Pegawai Kanan Perkhidmatan Pendidikan dalam satu arahan melalui surat bertarikh 18 Julai 2018 yang ditandatangani Pe­ngarah Pendidikan negeri, Muhammad Zahari Othman.

Sementara itu, Muhammad Zahari ketika dihubungi mengesahkan arahan tersebut dikeluarkan pihaknya yang bertujuan memberi ruang kepada pengetua itu untuk berehat dan bertenang selepas berdepan si­tuasi tidak diingini.

“Keputusan menempatkan beliau di jabatan diharap dapat meredakan keadaan di sekolah tersebut.

“Pada masa sama, ia diharap dapat memberi ruang kepada kita menjalankan siasatan ke atas segala dakwaan yang dibuat terhadap beliau,” kata­nya di sini, hari ini.

Semalam, guru-guru SMK Ketereh menaikkan sepanduk di dalam kawasan sekolah berkenaan menggesa Jabatan Pendidikan negeri menukarkan pengetua sekolah itu yang didakwa mencetus tekanan pera­saan dan suasana persekolahan yang tidak tenteram.

Terdahulu sebelum gesaan itu dibuat, seramai 46 pelajar sekolah itu terkena histeria, meraung bersahut-sahutan dan menjerit kesakitan tanpa sebab sebelum bertepuk tangan sehingga tidak sedarkan diri.

Mengulas lanjut, Muhammad Zahari berkata, arahan pertukaran itu berkuat kuasa hari ini, namun sehingga tengah hari ini, Norriha masih belum melapor­kan diri di sektor berkenaan.

“Pihak jabatan akan terus siasat perkara ini dan buat masa ini tugas dan tanggungjawab pengetua sekolah berkenaan berada di bawah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sabri Awang,” katanya.

Difahamkan, Norriha tidak hadir bertugas di sekolah hari ini manakala usaha Utusan Malaysia mendapatkan reaksi wanita itu tidak berjaya kerana beliau gagal dihubungi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×