Hidap kanser ovari, Nurshafina reda ujian Allah - Utusan Malaysia

Hidap kanser ovari, Nurshafina reda ujian Allah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT kepayahannya menjawab soalan dan adakala jawapan yang diberikan menyimpang daripada soalan, membuatkan penulis tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku kepada Nurshafina Ab Hamid, 38.

Maklumat awal yang diberi kepada penulis bahawa dia menghidap kanser ovari, hanya mampu duduk dan baring di atas katil yang diletakkan di ruang tamu rumah sewanya.

Suaminya, Mohd. @ Moha Hazeefisz Maarif, 39, dan kawan yang setia menjaganya sejak tiga tahun lalu, Ariza Baharudin, Nurshafina, juga mengesahkan ibu kepada tiga orang cahaya mata itu menghidap kanser ovari tahap 4. Hanya diramalkan mampu bertahan antara tiga hingga enam tahun, baik Nurshafina mahupun Hazeefisz reda dengan ketentuan Ilahi.

Mengimbau kehidupan sebelum ini, dia yang dilahirkan dengan masalah rabun tahap B4, turut menghidap sawan yang kronik, selain tekanan darah rendah.

Mula didiagnos menghidap kanser ovari tahap 1 pada penghujung 2015, berpunca daripada ketumbuhan (ovarian cyst) pada bahagian tersebut yang pecah dan merebak.

Ekoran itu, rahim Nurshafina terpaksa dibuang dan dia memulakan rawatan kimoterapi selepas sebulan pembedahan dilakukan.

Walaupun telah menjalani rawatan kimoterapi sebanyak enam sesi, doktor mengesahkan sel kanser masih aktif dan merebak ke bahagian usus.

 

Akibatnya usus dan pundi kencing Nurshafina terpaksa dibuang bagi mengelakkan kanser merebak ke bahagian lain dan berlakunya jangkitan.

Tidak mampu menguruskan diri sendiri, hari ini wanita kelahiran Kangar, Perlis ini, hanya mengharapkan belas ihsan rakan-rakan, jiran tetangga dan masyarakat sekeliling untuk meneruskan kehidupan harian.

Sekarang ini, atas alasan tertentu Nurshafina memutuskan tidak meneruskan rawatan kimoterapi.

“Selama ini, walaupun mempunyai masalah rabun, saya masih boleh membaca dan melihat (samar-samar). Tetapi, selepas menjalani rawatan kimoterapi pada 2015, bukan sahaja penglihatan semakin teruk, malah turut menjejaskan pendengaran dan pergerakan saya.

“Disebabkan masalah ini, saya dan suami mengambil keputusan untuk tidak meneruskan rawatan kimoterapi walaupun disarankan oleh doktor untuk ‘menyekat’ sel-sel kanser daripada merebak.

“Bukan itu saja, doktor juga mengesahkan pemikiran dan tindak-tanduk saya seolah-olah kembali menjadi kanak-kanak, manakala bahagian kanan badan lemah, deria rasa terjejas dan tidak mampu mengawal buang air kecil atau besar,” ujarnya ketika ditemui di rumah sewanya di 3-1N, Blok C, PPR Seri Serawak, Jalan Kenanga, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dengan penjelasan tersebut, terjawab sudah kenapa Nurshafina menghadapi kesukaran ketika berkomunikasi dengan orang di sekelilingnya.

Perlu memakai lampin pakai buang sepanjang masa, dia dilihat sebagai seorang individu yang kuat semangat dan tabah kerana, yang sedikit sebanyak membuatkan dirinya terus bernafas.

Setelah tidak lagi menjalani rawatan kimoterapi, dia kini hanya bergantung kepada ubat-ubatan sebanyak tujuh jenis yang perlu diambil tiga kali sehari.

Selain itu, dia turut berusaha dan mencuba rawatan alternatif.

Dalam pada itu, suami Nurshafina, Mohd. Hazeefisz yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan (buta).

Selain bergantung pada gaji suami sebanyak RM1,200 sebulan sebagai operator telefon di sebuah hospital swasta, pasangan itu turut mendapat bantuan bulanan dari Baitulmal Wilayah Persekutuan sebanyak RM350.

Nurshafina menjelaskan, gaji suaminya perlu diagihkan kepada anak-anak yang dijaga ibu mentuanya di kampung, perbelanjaan rumah seperti barangan keperluan, lampin pakai buang, serta kos pengangkutan pergi dan balik ke hospital.

“Kalau diikutkan dengan gaji sebegitu tidak mencukupi apatah lagi jika tidak melakukan kerja lebih masa.

“Namun, kami bersyukur kerana ada rakan-rakan yang sudi membantu.

“Cuma apa yang membimbangkan sekiranya saya kerap diserang sawan dan kerap keluar masuk hospital, yang sudah pasti perbelanjaan akan meningkat. Itu belum lagi ubat-ubatan tambahan yang perlu dibeli.

“Bagaimanapun, adakala kami juga menerima sumbangan daripada orang ramai yang tahu masalah kami hadapi. Sudah tentu kami berterima kasih atas keprihatinan mereka dan hanya Tuhan yang mampu membalas jasa mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN