Henti segera projek - Utusan Malaysia

Henti segera projek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Julai – Penduduk mendakwa projek pembinaan pangsapuri mampu milik di atas tanah rizab padang Jalan Jujur, Bandar Tun Razak (BTR) di sini dijalankan secara haram kerana tidak mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Setiausaha Jawatankuasa Ber­tindak Selamatkan Padang Bola Sepak Jujur BTR, Mohamad Saiful Mansur berkata, pemaju dilihat seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang apabila giat menjalankan kerja-kerja pembinaan sejak setahun lalu.

Beliau berkata, penduduk pernah beberapa kali cuba untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berhubung isu tersebut namun, tidak diendahkan.

“Bantahan telah dibuat penduduk sejak mula-mula projek itu dicadangkan tiga tahun yang lalu dan DBKL difahamkan telah mengeluarkan notis henti tugas di tapak projek kepada pemaju.

“Apa yang menghairankan kerja-kerja di tapak projek masih berjalan seperti biasa sehingga hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Sementara itu, seorang penduduk Faizal Aziz memberitahu, padang itu merupakan satu-satunya kawasan bagi kira-kira 5,000 penduduk BTR untuk melakukan aktiviti riadah setiap hari.

“Sekiranya projek itu diteruskan pelbagai masalah timbul termasuk kesesakan lalu lintas.

“Kami diberitahu kononnya rumah itu adalah untuk masyarakat BTR tetapi harganya yang mencecah RM 300,000 hingga RM 400,000 ternyata diluar kemam-puan penduduk,” katanya.

Sementara itu, DBKL mengesahkan tanah rizab padang di sini telah dijual kepada pemaju projek pangsapuri mampu milik yang dibangunkan di kawasan tersebut.

Pengarah Eksekutif Peranca­ngan DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd. berkata, bagaimanapun status tanah tersebut masih lagi dalam proses penukaran hak milik kepada pemaju berkenaan.

Beliau berkata, oleh itu kerja-kerja pembinaan akan dihentikan buat sementara waktu sehingga penukaran hak milik selesai.

“DBKL telah memberi kelulusan kepada pemaju untuk membina pangsapuri di tanah tersebut namun, kerja pembinaan hanya boleh diteruskan selepas rizab itu telah ditukar hak milik.

“Selain itu, penduduk tidak perlu khuatir kerana pihak DBKL telah menggantikan padang baharu berdekatan Masjid Saidina Uthman bin Affan untuk penduduk beriadah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas mengenai bantahan penduduk di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN