TEMERLOH 8 Julai – Amalan menabung dalam usia emas membawa tuah kepada Hasan Mohamed, 79, yang memenangi hadiah utama cabutan bulanan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) 2018 baru-baru ini.
Kemenangan itu membolehkan bapa kepada 10 anak dan 40 cucu itu membawa pulang kereta BMW 318i Luxury bernilai lebih RM200,000.
Hasan yang berasal dari Kampung Sungai Kepung, Lanchang di sini berkata, meskipun tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bekerja kampung, perkara itu bukan alasan baginya untuk tidak menyimpan duit.
Katanya, budaya menabung diamalkannya sejak muda dan dia mula menyimpan dalam BSN SSP 20 tahun lalu.
“Sebenarnya saya amat terkejut dan seolah-olah tidak percaya apabila saya menjadi pemenang utama seterusnya mendapat kereta BMW dalam cabutan kali ini.
“Saya bersyukur kepada Allah SWT dan akan terus mengamalkan budaya menyimpan walaupun sudah berusia kerana ia banyak memberi manfaat kepada keluarga,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan hadiah kepada pemenang utama cabutan BSN SSP di sini.
Dalam majlis itu, Pengarah BSN negeri, Albhar Mohd. Tahar menyerahkan replika kunci kereta kepada Hasan sebagai simbolik penyampaian hadiah.
Menurut Hasan, dia bercadang menjual kereta berkenaan memandangkan sudah mempunyai sebuah kenderaan untuk kegunaan harian.
“Insya-Allah duit yang diterima nanti akan disimpan dahulu kerana pada masa ini, saya tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk menggunakannya,” ujarnya.
Sementara itu, Albhar berkata, dengan pelbagai hadiah ditawarkan, BSN SSP mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 2.9 juta penyimpan dengan simpanan lebih RM3.28 bilion direkodkan di seluruh negara.
“Bagi tahun ini, BSN SSP memperkenalkan cabutan-cabutan baharu sebagai penghargaan khas untuk para penyimpan dan ini bermakna lebih banyak peluang serta ganjaran boleh dinikmati,” jelasnya.











