Hari 'Giliran' yang masih dinantikan - Utusan Malaysia

Hari ‘Giliran’ yang masih dinantikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU 30 Julai – Ada suatu kegiatan lazim yang masih berterusan di bandar Kuala Berang yang berkait tradisi perniagaan kecil-kecilan penduduk setempat memasarkan hasil produk kampung masing-masing di pasar Giliran, iaitu pasar pagi sejak seabad yang lalu.

Dua hari dalam seminggu iaitu Rabu dan Sabtu, hari-hari itu dinamakan Hari Giliran atau dengan loghat  setempat disebut `Harih Gilirang’, dan pasar tersebut suatu ketika dulu di tepi sungai cukup meriah, menghidupkan suasana bandar ini sebelum berpindah ke padang astaka.

Orang ramai tertumpu untuk membeli keperluan dengan harga yang murah apabila penduduk membawa hasil ke pasar untuk menjualnya sendiri, dan hasil jualan yang diperoleh lazimnya digunakan pula untuk  membeli keperluan lain, di samping menjadi medan pertemuan anak muda yang keluar melaram.

Pasar Giliran merupakan pasar terbuka dengan corak perniagaan tradisional, dan lazimnya kalangan peniaga adalah warga emas yang sekadar duduk bersimpuh dan bersila menunggu pelanggan dengan menghamparkan tikar atau kain untuk meletakkan barangan jualan.

Kalangan warga emas terutama wanita mencari rezeki untuk mengisi masa lapang manakala pendapatan yang diperoleh lazimnya digunakan untuk membeli keperluan lain. 

Ramlah Omar,65, dari Kampung Gaung sudah berniaga sejak hampir 40 tahun lalu bersama dengan kira-kira 300 peniaga lainnya, dan hasil jualan cukup untuk menampung keperluan harian keluarganya.

Katanya, di sini tarikannya bukan sahaja kerana harga lebih murah tetapi juga  pelbagai buah-buahan, sayuran, ulaman dan makanan termasuk yang pelik-pelik atau jarang ditemui di tempat lain serta hasil kerja tangan dijual di sini di samping jualan pakaian dan perkakasan dapur.

“Meniaga sambil duduk ini memanglah tidak selesa, penat dan kadang-kadang sampai sakit lutut duduk bersila dari pagi sampai tengah hari bagi orang yang tak biasa.

“Tapi inilah kepuasan mak cik daripada duduk bersahaja di rumah, lebih baik duduk berniaga di sini mencari rezeki.Malah, jika tidak datang berniaga  bagaikan ada yang tidak kena, macam makan nasi tanpa budu,”katanya lagi.

Bagi  Wan Esah Ton Sulaiman,64, dari Kampung Telaga yang berniaga sejak tiga tahun lalu, pula merasa bosan sekiranya tinggal di rumah tanpa berbuat sesuatu yang bermanfaat.

“Di sini masa terisi. Jualan mak cik ini tidaklah seberapa tetapi bolehlah buat tambahan belanja dapur walaupun anak-anak ada membantu.

“Biasanya mak cik jual sayur-sayuran dari jiran-jiran dan ada juga yang mak cik beli secara borong.Memanglah tidak dapat banyak sebab modal pun sudah tinggi tetapi yang penting kepuasan yang makcik boleh apabila datang ke pasar ini,”katanya lagi.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN