KUALA TERENGGANU – Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka tidak akan memberi banyak kesan terhadap harga rumah di negara ini, kata Timbalan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah.
Beliau berkata, secara teorinya harga rumah akan turun jika SST dilaksanakan berbanding ketika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Di peringkat awal ini mungkin kita belum boleh kesan impak pelaksanaan SST terhadap harga rumah tetapi secara teori harga rumah akan turun.
“Berbanding dengan GST, cukai dikenakan terhadap semua komponen barang binaan seperti kayu, besi dan sebagainya dan ini memang yang mana ia menyumbang kepada kenaikan harga rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis kesyukuran dan doa selamat atas pelantikan sebagai Senator dan Timbalan Menteri di kediamannya di Batu Buruk di sini semalam. – Bernama










