KUALA LUMPUR 3 Julai – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Datuk Seri Najib Tun Razak di kediamannya hari ini diharap bukan atas tekanan mana-mana pihak bagi tujuan membalas dendam terhadapnya dan UMNO.
Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tindakan SPRM ini perlu berlandaskan amalan profesional dan diharap tidak memberi ruang terhadap perbicaraan media dan persepsi.
Katanya, ini kerana, sebelum ini terdapat unsur-unsur yang memalukan beliau kerana berita rumahnya dan rumah milik anaknya digeledah telah disensasikan sehingga menimbulkan berbagai persepsi buruk.
“Saya yakin Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberikan kerjasama sepenuhnya semasa di soal siasat oleh SPRM sebelum ini.
“Dan saya yakin dia akan memberikan kerjasama supaya proses undang undang dijalankan dengan adil. Ini telah beliau buktikan apabila membenarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membuat siasatan termasuk audit forensik oleh Pejabat Audit Negara terhadap 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) semasa dia menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE









