MUAR 8 Julai – Ibu bapa dinasihatkan menghantar anak mereka ke taman asuhan kanak-kanak atau taska yang bertauliah bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, perkara itu penting kerana pengasuh di pusat jagaan rasmi perlu mematuhi peraturan tertentu yang telah ditetapkan.
“Pengasuh di pusat jagaan rasmi atau berlesen ini juga perlu menjalani ujian tertentu termasuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan sebagainya.
“Ini penting kerana kadang-kadang biarpun pengasuh nampak sihat tetapi daripada segi mental mereka kita tidak pasti. Jadi, melalui pusat jagaan bertauliah kita dapat memantau mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Perubatan HPSF, Dr. Sal Atan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan pertandingan marhaban dan menganyam ketupat.
Tambah Dr. Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, keperluan taman asuhan di tempat kerja juga adalah satu keperluan bagi memudahkan ibu bapa memantau anak masing-masing.
“Saya tidak pasti di setiap jabatan kerajaan ketika ini ada atau tidak kemudahan itu tetapi mewujudkan taska di tempat kerja sememangnya merupakan cadangan baik.
“Sekiranya terdapat taman asuhan yang berdekatan tempat kerja pun sudah memadai bagi memudahkan ibu bapa yang bekerja dapat memantau anak masing-masing,” katanya.
Menurut beliau lagi, cadangan itu tidak tertumpu kepada agensi kerajaan semata-mata.
“Kerajaan perlu memainkan peranan lebih dalam isu ini termasuk memudahkan juga operasi pemilik taska agar kejadian-kejadian yang tidak diingini tidak terus berulang,” katanya.










