BERITA mengenai kemalangan jalan raya membabitkan haiwan ternakan di negara ini seperti masih tiada jalan penyelesaian. Walaupun sudah berulang kali dilaporkan, kejadian tetap berulang seolah-olah tiada tindakan dan penguatkuasaan dilakukan.
Masalah ini bukan sahaja berlaku di jalan-jalan kampung bahkan masih berleluasa di beberapa kawasan bandar dan pinggir bandar di sekitar Klang, Shah Alam, Sentul dan Kajang.
Persoalan yang timbul adalah sejauh mana pihak berkuasa berusaha menyelesaikan isu ini khususnya mengenai tindakan dan penguatkuasaan yang dikenakan terhadap pemilik dan penternak yang membiarkan haiwan ternakan mereka bebas berkeliaran.
KLANG 19 JULAI – Pencerobohan haiwan ternakan di jalan raya bukan lagi perkara asing bagi pemandu di negara ini bahkan telah lama menjadi ‘perangkap maut’ terutama bagi yang memandu pada waktu malam.
Kira-kira empat bulan lalu, tular video seekor lembu dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Felda Adela, Kota Tinggi, Johor sehingga mendapat pelbagai reaksi netizen.
Daripada komen-komen yang diluahkan, rata-rata masyarakat mula sedar tentang ancaman daripada tindakan pemilik yang tidak mengurung haiwan ternakan mereka.
Bahkan ramai yang berpendapat, pemilik haiwan ternakan perlu dipersalahkan sepenuhnya membabitkan kemalangan seumpama itu.
Tidak dinafikan, sudah sampai masanya satu tindakan yang lebih komrehensif dan adil perlu diambil oleh pihak berkuasa bagi membendung masalah ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di Bandar Botanic berhampiran gedung beli-belah GM Klang baru-baru mendapati, sekumpulan lembu berkeliaran di kawasan premis perniagaan itu sehingga mengganggu lalu lintas dan menimbulkan kebimbangan orang ramai.
Ekoran situasi itu, pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati berikutan kehadiran lembu di sekitar bahu jalan yang boleh menyebabkan kemalangan pada bila-bila masa.
Dalam perkembangan sama, Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood), Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando berkata, pemilik haiwan ternakan tidak boleh bersikap lepas tangan dengan membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran di atas jalan raya kerana ia mengundang bahaya kepada orang ramai.
Justeru itu katanya, penternak tidak sepatutnya membiarkan ternakan mereka berkeliaran tanpa kawalan kerana ia menganggu ketenteraman awam dan mengancam pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata, sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan peribadi semata-mata sepatutnya dikenakan tindakan yang setimpal.
“Apa yang Brotherhood perjuangkan di sini adalah soal keselamatan jalan raya yang membabitkan nyawa manusia dan juga haiwan berkenaan. Mengapa isu kemalangan haiwan ternakan ini seperti tidak mendapat perhatian pihak berwajib?
“Pernah satu ketika berlaku kemalangan melibatkan sembilan ekor lembu yang dilanggar lori,’’ katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar atau ketua kampung berbincang untuk menyelesaikan isu ini.
“Kita tidak mahu apabila berlaku kemalangan, pemilik ternakan hilang entah ke mana dan yang menjadi mangsa adalah orang ramai.
“Sedangkan mangsa sepatutnya mempunyai hak-hak bagi melindungi mereka,” katanya.










