KUALA LUMPUR 20 Julai – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meluangkan masa kira-kira sejam bertemu keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee dan memberi penghormatan terakhir terhadap mendiang di Xiao En Memorial Park, Cheras di sini hari ini.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kehilangan Tian Chee merupakan satu kehilangan besar buat parti dan masyarakat.
“Mendiang adalah seorang wakil rakyat yang sentiasa memberi komitmen penuh dalam menjalankan tugasnya. Sifatnya itu membuatkan beliau sentiasa mendapat sokongan dan dikasihi masyarakat.
“Kita juga merasakan kehilangan pemimpin pelapis yang mempunyai masa depan cerah dalam perjuangan parti,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam semalam, Tien Chee yang berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah lori pencuci jalan milik syarikat konsesi Lebuh Raya Grand Saga. – UTUSAN ONLINE










