Giliran LHDN jadi sasaran? - Utusan Malaysia

Giliran LHDN jadi sasaran?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Julai – Selepas Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), agensi seterusnya yang menjadi sasaran Tun Daim Zainuddin yang mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan atas nama ‘penyusunan semula’ ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut penganalisis industri, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah kini heboh diperkatakan ‘telah dinasihatkan untuk berundur’ oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau yang dilantik ke jawatan itu pada akhir 2016, tidak akan diperbaharui kontrak pada tarikh kelahirannya yang ke-58 pada Disember ini, seandainya tidak meletak jawatan awal.

Pengerusi LHDN, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah telah meletak jawatan berkuat kuasa 23 Mei lalu dan tempatnya diganti oleh Datuk Seri Dr. Ismail Bakar yang dilantik menjadi Ketua Setiausaha Perbendaharaan baharu.

“Langkah ‘penyusunan semula’ Tun Daim ini dapat dibaca selepas kesemua Ahli Lembaga Pengarah Khazanah meletak jawatan ming­gu lalu. Dan kini giliran LHDN pula.

“Sekurang-kurangnya kita sudah mendengar spekulasi dalaman LHDN mengenai ‘nasihat’ yang disampaikan terhadap CEO. Ahli lembaga pengarah juga mungkin menerima tekanan serupa,’’ kata penganalisis industri di sini hari ini.

Menurut penganalisis itu lagi, senario hampir sama berlaku pada 1998 selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Kabinet oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana masalah moral.

Ketika itu, Dr. Mahathir melantik Daim yang merupakan bekas Menteri Kewangan untuk menjawat jawatan Menteri Tugas-tugas Khas bagi menjalankan kerja-kerja penyusunan semula ekonomi negara, yang turut melibatkan agensi-agensi berkaitan kerajaan.

Selain Dr. Ismail selaku pengerusi lembaga LHDN, terdapat lapan lagi ahli iaitu Sabin; wakil Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; Peguam Cara Negara II, Datin Paduka Zauyah Be T. Loth Khan; Setiausaha Bahagian Cukai Perbendaharaan, Datuk Khodijah Abdullah.

Selain itu, Akauntan Negara, Datuk Saat Esa; CEO Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner dan dua perunding swasta iaitu Tan Sri Rashpal Singh Randhay dan Datuk Md Afendi Datuk Hamdan.

Menurut laporan, LHDN berjaya mengutip cukai tahun lalu sebanyak RM123.2 bilion iaitu peningkatan sebanyak 8.15 peratus berbanding 2016 dan RM44 bilion daripadanya adalah hasil cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Awal tahun ini, LHDN meletakkan sasaran kutipan cukai sebanyak RM134.7 bilion pada tahun ini tetapi dijangka tidak akan berjaya berikutan keputusan memansuhkan GST dan kembali kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

LHDN juga pernah menjadi kritikan pemimpin Pakatan Harapan yang didakwa telah menyerbu pejabat para penyokong parti yang menentang Barisan Nasional dan mengenakan tuntutan cukai korporat berganda daripada mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN