Geng Tebuk aktif pecah gudang, pasar raya tumpas - Utusan Malaysia

Geng Tebuk aktif pecah gudang, pasar raya tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Kegiatan licik sekumpulan penjenayah warga Vietnam yang dikenali sebagai Geng Tebuk yang melakukan pecah gudang dan pasar raya di sekitar negeri ini sejak awal bulan lalu berakhir apabila kesemua mereka berjaya diberkas semalam.

Kelima-lima suspek yang berusia antara 25 hingga 35 tahun itu ditahan di Taman Keladi, Sungai Petani dekat sini kira-kira pukul 4.05 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, kesemua suspek yang menaiki kereta jenis Proton Waja ditahan selepas memecah masuk sebuah pasar raya di Kubang Pasu.

“Dalam tangkapan itu, kita merampas beberapa alat untuk melakukan kegiatan samun, pecah rumah dan tebuk peti besi antaranya mesin gerudi dan pencanai serta matanya, pemotong besi, kuku kambing, pemutar skru dan penukul,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, lima suspek itu setakat ini mengaku terlibat dalam tujuh kes di negeri ini termasuk masing-masing satu kes samun dan pecah gudang serta menebuk peti besi di Kubang Pasu melibatkan kerugian antara RM2,000 hingga RM50,000 bagi setiap kes.

“Hasil soal siasat juga mendapati kumpulan ini disyaki terlibat dalam beberapa lagi kes sama di negeri ini dan negeri lain antaranya Pahang, Negeri Sembilan dan Johor berdasarkan modus operandi dilakukan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN