BUKIT MERTAJAM 1 Julai – Seramai enam lelaki yang menyamun seorang pelajar kolej swasta di sini pada Selasa lalu berjaya diberkas polis dalam beberapa operasi di Selangor dan Kedah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Hamid berkata, dalam kejadian pada pukul 1 pagi, mangsa yang berusia 21 tahun disamun sekumpulan lelaki selepas makan di sebuah restoran makanan segera di Jalan Song Ban Kheng di sini.
Katanya, sejurus masuk ke dalam keretanya, mangsa ditumbuk seorang lelaki yang kemudian mengarahkannya duduk di kerusi penumpang.
“Dua lagi lelaki kemudian turut masuk ke dalam kereta berkenaan dan duduk di bahagian belakang sambil mengacukan pisau di leher mangsa.
“Mereka membawa mangsa ke Taman Sejahtera dan meninggalkan mangsa di situ selepas mengambil telefon bimbit, jam tangan, kasut serta wang tunai RM60,” katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 32 tahun di Kulim, Kedah manakala seorang suspek berusia 34 tahun ditahan di sebuah hotel di Pelabuhan Klang, Selangor.
“Polis turut menahan seorang duda berusia 32 tahun yang tidak bekerja serta memunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah di Tamn Tunku Putra, Kulim, Kedah dan seorang seorang lelaki bujang berusia 35 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











