KUALA LUMPUR 30 Julai – Gempa bumi yang berlaku di Lombok, Indonesia disifatkan pendaki sebagai antara yang paling kuat pernah berlaku.
Menurut seorang pendaki Malaysia, Abdul Rashid Ab. Rahman, dia berada Rim 1 Pelawangan ketika gempa bumi itu berlaku.
“Waktu itu pasukan saya ada 12 orang pendaki bersama 12 orang porter dan kami sedang bersarapan pagi.
“Lepas gempa tu berlaku, saya dan pendaki lain terus bergegas turun ke arah kampung Senaru untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Menurutnya, gempa berlaku pada pukul 6.50 pagi (waktu tempatan) dan ketika itu kebanyakan pendaki masih belum memulakan pendakian.
Jelasnya, laluan turun ke Senaru masih elok dan tidak menghalang pendaki untuk turun.
“Kawasan yang teruk adalah di bahagian Timur Lombok di mana banyak rumah penduduk yang rosak.
“Alhamdulillah pasukan saya selamat dan kami sekarang sedang meneruskan perjalanan ke Pulau Gili Trawangan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE.










