FETO jadi ancaman besar Turki - Utusan Malaysia

FETO jadi ancaman besar Turki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TURKI menyaksikan peristiwa berdarah pada tanggal 15 Julai 2016 yang menjadi titik hitam kepada negara itu dan rakyatnya ekoran cubaan rampasan kuasa oleh pihak tentera yang gagal.

Cubaan rampasan kuasa tentera itu berjaya dipatahkan pada hari yang sama tetapi bukan menggunakan kuasa politik sebaliknya rakyat Turki daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang, bergadai nyawa mempertahankan sistem demokrasi di negara tersebut.

Mereka bersatu hanya menggunakan tangan dan tubuh menyekat kemaraan kereta kebal dan anggota tentera yang cuba me­nguasai Ankara dan Istanbul.

Seramai 250 orang terkorban dan 2,194 cedera dalam peristiwa ber­darah itu.

Semalam merupakan ulang tahun kedua memperingati pe­ris­tiwa hitam dan pengorbanan rakyat Turki yang terkorban mem­pertahankan negara mereka daripada anasir dalaman dan luaran.

Jika dilihat ketenteraman dan keamanan yang berlangsung di Turki sekarang, sudah pasti tiada yang merisaukan.

Namun dakwa Duta Turki ke Malaysia, Merve Safa Kavacki, Turki kini berdepan dengan kumpulan pengganas yang lebih ganas daripada kumpulan Daesh mahupun Al-Qaeda iaitu Pertubuhan Pengganas Fetulleh Gulen (FETO).

FETO pimpinan Muhammed Fetulleh Gulen, yang kini hidup dalam buangan di Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) bergerak secara halus di dalam dan luar negara untuk menyebarkan dak­yah dan fahaman mereka bagi menggugat ketenteraman Turki.

Beliau berkata, berbanding pertubuhan Daesh, IS, ISIS atau Al-Qaeda yang telah diketahui oleh dunia tentang bahaya, ke­ganasan, cara dan lokasi operasi mereka, FETO bergerak secara senyap dan bertopengkan pelbagai institusi.

“Jika anda yang me­nya­takan kumpulan Da­esh, IS atau ISIS berbahaya maka kami menganggap FETO adalah lebih bahaya daripada semua pertu­buhan ini kerana mereka bergerak secara senyap dan menggunakan semua institusi termasuk agama untuk menanam dan menyebar fahaman mereka,” katanya.

FETO merupakan dalang di sebalik cubaan rampasan kuasa tersebut, malah kerajaan Turki telah memperoleh pelbagai bukti dan beribu-ribu kete­rangan daripada para pegawai yang me­ngaku terlibat dengan FETO semasa cubaan rampasan itu.

“Kami tahu di mana, apa yang cuba dipromosikan oleh FETO dan apa yang cuba disebarkan oleh pertubuhan ini, malah mereka yang terlibat berada dalam kalangan masyarakat awam di Turki dan di luar negara,” katanya.

Sehingga kini kerajaan Turki berjaya mengesan aktiviti jenayah yang dilakukan FETO dengan pemecahan kod sistem komunikasi aplikasi Bylock yang digunakan anggota pertubuhan itu.

Bylock digunakan lebih 250,000 pengguna dan lebih 1.7 juta mesej berjaya dibongkar yang menunjukkan rangkaian yang digunakan FETO di dalam dan luar negara.

Selain itu, mereka menggunakan operasi dikenali sebagai ‘te­lefon kotak syiling’ iaitu rangkai­an yang bergerak dalam pasukan keselamatan Turki melalui risikan menggunakan telefon awam.

Siasatan turut mendapati FETO menggunakan jabatan awam se­perti polis, mahkamah dan tentera melalui penipuan ujian kemasukan ke institusi awam.

Kata Merve, kerajaan Turki me­ngalu-alukan kerjasama dunia untuk menyekat penyebaran ideo­logi FETO di peringkat antarabangsa malah mahu memastikan usaha tersebut berterusan.

“United Kingdom (UK) me­ngakui penglibatan FETO dalam cubaan rampasan kuasa dan Jerman turut senada dengan kami manakala AS melalui Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sedang menyiasat rangkaian Gulen,” katanya.

Kerjasama di peringkat antarabangsa yang dilakukan terma­suklah menghapuskan keha­diran pertubuhan itu di negara dunia ketiga bagi melemahkan rangkaian pertubuhan itu.

“Sekolah yang mempunyai kaitan dengan FETO di lebih 30 negara juga telah ditutup atau diambil alih Yayasan Maarif Turki bagi pihak kerajaan Turki selain menghantar pulang individu yang berkaitan,” katanya.

Pada masa ini, FETO terpaksa mengurangkan aktiviti dan keha­dirannya di peringkat global malah terpaksa keluar dari beberapa negara sekali gus mencetuskan pa­nik dalam kalangan anggotanya.

“Kami berharap tekanan dunia terhadap FETO pada masa akan datang dan fokus kami adalah memastikan pemimpin utama FETO diekstradisi ke Turki,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN