KUALA LUMPUR – Faktor luaran semasa akan terus mempengaruhi pasaran ekuiti serantau termasuk Malaysia, mewujudkan ketidaktentuan dan menyebabkan pengurus dana tidak memasuki pasaran.
Ketua Penganalisis Rakuten Trade Sdn. Bhd., Kenny Yee berkata, sehingga kini aliran keluar asing melebihi RM10 bilion dalam tempoh Mei hingga bulan Jun, dengan pasaran selepas pilihan raya umum mencatatkan jualan asing bersih hampir RM7 bilion.
Menurutnya, dari segi perbandingan, negara mencatatkan aliran masuk asing bersih sebanyak RM10.25 bilion ke dalam ekuiti pada 2017.
“Bagi minggu ini sahaja, jualan bersih mencecah RM310.7 juta (hingga Khamis) dan kami menjangkakan dana ini akan terus mencatat jualan dalam masa terdekat,” katanya di sini baru-baru ini.
Kenny menjelaskan, pertikaian perdagangan yang berterusan antara Amerika Syarikat dan China dijangka menjadi faktor utama kepada trend itu.
Pada Jumaat, indeks utama Bursa Malaysia ditutup rendah kepada 1,663.86 daripada 1,690.95 pada Khamis, susut 26.79 mata.
Bagaimanapun, Kenny yakin penurunan pasaran saham di negara ini hanya dalam jangka masa pendek.
Tambah beliau, Malaysia dilihat sebagai destinasi selamat di rantau ini, dengan pasaran disokong oleh empat syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang utama, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Bhd., Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan Lembaga Tabung Haji.
“Jumlah saiz dana yang diuruskan oleh empat GLIC itu melebihi RM1.2 trilion, tidak termasuk daripada dana kekayaan negara, Khazanah Nasional Bhd dan anak syarikatnya, ValueCAP Sdn. Bhd.,” katanya.
Beliau turut percaya dana asing dijangka mengambil peluang daripada penyusutan ringgit, yang merosot kepada RM4.04 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)daripada paras tertinggi tahun ini pada RM3.86.
“Saham mewah berkaitan indeks seperti Telekom Malaysia, Maybank, KLK dan Genting berada pada kedudukan yang baik berikutan ia diniagakan pada paras yang menarik,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan AS kekal sebagai pusat pasaran ekuiti global, mewujudkan kegelisahan mengenai isu berkaitan ketegangan perdagangan atau kenaikan kadar faedahnya. – Bernama
Aliran keluar asing lebih RM10 bilion dari bulan Mei hingga Jun











