ECRL antara dibincangkan - Utusan Malaysia

ECRL antara dibincangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 28 Julai – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka mengadakan lawatan ke China pertengahan bulan depan bagi membincangkan hubungan antara kedua-dua negara terma­suk kajian semula terhadap projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang ditandatangani kerajaan terdahulu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya sedang berhubung dengan kementerian luar negara itu untuk menentukan tarikh dan atur cara lawatan pertama Dr. Mahathir ke China selepas dilantik semula sebagai Perdana Menteri Mei lalu.

“Antara agenda utama lawatan berkenaan adalah membincangkan perjanjian projek ditandatangani kerajaan terdahulu dengan China termasuk ECRL yang mana projek pembinaannya digantung sejak 5 Julai lalu oleh Kementerian Kewangan.

“Penggantungan ini bukan bermaksud dihentikan tetapi kita hendak melihat bagaimana perkara tertentu boleh diperbaiki dan ditambah nilai di samping menjaga hubungan perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ibu Bapa peringkat negeri di Kampung Chengal Lempong, di sini hari ini.

ECRL adalah projek landasan kereta api dari Pelabuhan Klang, Selangor sehingga Pengkalan Kubor, Kelantan yang diluluskan Kabinet pada 2016 dan 2017 de­ngan China Communications Cons­truction Company (CCCC) dilantik sebagai kontraktor utama.

Kos keseluruhan projek ECRL dijangka mencecah RM81 bilion, termasuk pengambilalihan ta­nah dan faedah pinjaman semasa pembinaannya.

Selain ECRL, projek dengan China yang digantung kerajaan adalah Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) bernilai RM9.4 bilion.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, beliau dimaklumkan status terkini mengenai projek ECRL adalah di peringkat perbincangan antara pegawai bertanggungjawab bagi kedua-dua negara.

“Perbincangan sedang berjalan dan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau memberitahu, lawatan Perdana Menteri itu juga bertujuan mengukuhkan hubungan Malaysia dengan China yang terjalin sejak 1974 dan beratus tahun lalu menerusi hubungan kebudayaan.

“Kita sangat menghargai hu­bungan ini dan mahu meningkatkan dalam bidang pendidikan serta perniagaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN