Dua beradik maut, motosikal rempuh bas rosak - Utusan Malaysia

Dua beradik maut, motosikal rempuh bas rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI 1 Julai – Seorang guru agama dan adik perempuannya maut apabila motosikal dinaiki mereka merempuh belakang sebuah bas Cityliner yang rosak di tepi jalan di Jalan Lencong Timur, Amanjaya di sini petang tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, penunggang motosikal jenis Modenas Kriss 120, Muhammad Amirul Kushairi Amirasid, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Sementara adiknya, Nurul Atikah, 19, yang membonceng meninggal dunia sebaik tiba di Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

Kejadian berlaku ketika dua beradik tersebut dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Serai Wangi, Padang Serai.

Ibu mereka, Nariya Abdullah, 47, berkata, dia bagaikan hilang kata-kata apabila diberitahu dua anaknya itu maut dalam kemalangan.

“Mereka keluar pagi tadi ke Sungai Petani untuk beli al-Quran untuk saya tetapi mereka tidak sempat berbuat demikian selepas terlibat kemalangan,” katanya di sini.

Katanya, walaupun masih terkejut dan bersedih dengan kejadian tersebut, dia reda dengan pemergian dua anak kesayangannya itu.

“Nurul Atiqah bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang sementara menunggu panggilan masuk ke universiti, abangnya juga merancang untuk sambung belajar,” tambahnya.

Jenazah dua beradik itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Kampung Guar Lobak, Padang Serai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Sazalee Adam berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki dua beradik itu dari arah Sungai Petani ke Kuala Ketil melanggar belakang sebuah bas yang rosak.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bas tidak membawa penumpang ketika kejadian kerana mengalami kerosakan dan dalam perjalanan ke Puspakom. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN