PUTRAJAYA 20 Julai – Dr. Nungsari Ahmad Radhi dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang baharu berkuatkuasa serta-merta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Nungsari yang juga merupakan Anggota Mavcom mempunyai pengalaman luas dalam industri penerbangan dan juga bidang ekonomi.
“Saya ingin mengumumkan yang Perdana Menteri telah meluluskan pelantikan Pengerusi Eksekutif Mavcom yang baharu, Dr. Nungsari Ahmad Radhi.
“Saya yakin ramai yang tertanya-tanya tentang elaun pengerusi eksekutif baharu, seiring dengan dasar ketelusan, elaunnya adalah RM15,000, iaitu sama dengan Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Nungsari menjadi Pengerusi Eksekutif Mavcom yang baharu bagi Pengerusi Eksekutif sebelum ini, Tan Sri Jeneral (B) Abdullah Ahmad yang telah meletakkan jawatan. – UTUSAN ONLINE










