KOTA BHARU 4 Julai – Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menawarkan diskaun 50 peratus terhadap saman dan kompaun parkir yang dikeluarkannya sempena hari terbuka MPKB-BRI hari ini.
Yang Dipertuanya, Ahmad Robert Abdul Rahim berkata, diskaun kompaun itu ditawarkan bermula seawal pukul 8.30 pagi dan berakhir pada 5 petang ini.
Beliau berkata, selain kompaun parkir, pihaknya turut menawarkan diskaun 50 peratus untuk denda bagi binaan tanpa izin.
“Hari ini, kita telah membuka lima buah kaunter untuk pembayaran kompaun parkir serta denda binaan tanpa izin.
“Selain itu, kita juga menawarkan pengecualian notis cukai dan hadiah sampingan untuk pembayaran cukai tafsiran,” katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka dan Sambutan Hari Raya MPKB-BRI di sini hari ini.
Ahmad Robert berkata, sempena tawaran diskaun yang diadakan hari ini, pihaknya mensasarkan kutipan kompaun sebanyak RM200,000.
“Sehingga tengah hari ini, kita sudah mencapai kutipan kompaun sebanyak RM100,000 dan kita yakin sasaran berkenaan dapat dicapai.
“Ini adalah kali pertama kita mengadakan tawaran diskaun sebegini dan berdasarkan sambutan yang diterima, kita mungkin akan meneruskannya di masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan tuan tanah supaya mendapatkan kelulusan daripada majlis daerah masing-masing sebelum membina rumah atau bangunan.
“Ini adalah bagi mengelak daripada dikenakan denda sekiranya bangunan berkenaan didapati tidak mendapat kelulusan,”katanya. – UTUSAN ONLINE











