DBKL tidak abai PPR, PA - Utusan Malaysia

DBKL tidak abai PPR, PA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Julai – Penyelenggaraan projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan diabai walaupun bantuan mengecat di ibu negara dibatalkan.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff berkata, dakwaan sesete­ngah pihak DBKL akan mengetepikan aspek penyelengga­raan kediaman ber­tingkat itu tidak seharusnya timbul malah tidak ber­asas.

“Kerajaan mengarahkan bantuan mengecat PPR dan PA dibatalkan atas dasar penjimatan dan DBKL menerima arahan tersebut secara positif.

“Justeru penduduk tidak perlu risau kerana penyelenggaraan seperti kerja-kerja baik pulih lif, masalah kebocoran, paip pecah, jalan raya, sistem perparitan dan kerosakan taman permainan kanak-kanak di PPR dan PA akan terus dilaksanakan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, DBKL meng­umumkan pembatalan serta merta projek mengecat semula PPR dan PA yang dianggarkan bernilai RM180 juta.

Perkara itu diputuskan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz selepas mesyuarat bersama ahli Parlimen Wilayah Persekutuan.

Untuk rekod, sebanyak 92 bu­ah PPR, PA dan rumah pangsa kos rendah swasta terlibat dalam bantuan kerja-kerja mengecat dan baik pulih unit bernilai RM180 juta yang dimulakan sejak pertengahan tahun lalu.

Menurut Ibrahim, setakat ini 85 perumahan telah menerima kemudahan tersebut dan lima perumahan yang dalam proses dicat semula oleh kontraktor manakala baki projek di enam perumahan lagi dibatalkan serta-merta.

“Bantuan mengecat peruma­han berkenaan merupakan inisia­tif yang disediakan oleh Kementerian Wilayah dengan kerjasama DBKL semasa pemerintahan ke­rajaan Barisan Nasional untuk mengindahkan pemandangan di ibu kota,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN