PUTRAJAYA 20 Julai – Dasar perumahan negara baharu akan diperkenalkan pada Disember ini yang merangkumi polisi baharu pemilikan dan pembiayaan kediaman.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, dasar itu juga dijangka merangkumi polisi baharu bagi mengatasi masalah pinjaman perumahan yang kini sering dihadapi orang ramai.
“Kita telah mengadakan perbincangan bersama Bank Negara, Kementerian Kewangan, pihak bank dan persatuan-persatuan pemaju dalam mengubal dasar baharu berkenaan.
“Memang sudah menjadi hasrat kerajaan baharu di Pakatan Harapan bagi memudahkan pemilikan rumah termasuk agar harga kediaman dapat diturunkan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Pudina, Presint 17 di sini hari ini.
Pada masa sama, Zuraida memaklumkan, semua projek perumahan rakyat seperti Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), PPA1M dan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) bakal diletakkan di bawah kementeriannya pada Ogos ini.
Katanya, pihaknya akan menghantar kertas cadangan berhubung perkara itu kepada mesyuarat Jemaah Kabinet dalam masa terdekat.










