PUTRAJAYA 20 Julai – Kerajaan akan memperkenalkan dasar baharu perumahan negara pada Disember ini yang merangkumi polisi terkini pemilikan dan kemudahan pembiayaan kediaman.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, dasar itu juga bakal merangkumi polisi baharu dalam mengatasi masalah kerenah prosedur pinjaman perumahan yang sering dihadapi orang ramai.
Menurut beliau, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pihak bank dan persatuan-persatuan pemaju dalam merangka dasar baharu berkenaan.
“Menerusi dasar ini, saya optimis harga kediaman dapat diturunkan, malah proses pembiayaan rumah juga dipermudahkan.
“Sudah menjadi hasrat kerajaan di bawah Pakatan Harapan untuk menggubal dasar baharu termasuk dalam soal pemilikan kediaman agar membuka peluang lebih besar kepada orang ramai membeli rumah,” katanya selepas lawatan ke Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Pudina, Presint 17 di sini hari ini.
Pada masa sama Zuraida memaklumkan, semua syarikat perumahan rakyat seperti PPA1M, Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bakal diletakkan di bawah kementeriannya bermula Ogos ini.
Katanya, pihaknya akan menghantar kertas cadangan berhubung perkara itu kepada mesyuarat Jemaah Kabinet dalam masa terdekat.
“Buat masa ini, syarikat terlibat berada di bawah bidang kuasa kementerian dan agensi lain.
“Langkah itu secara tidak langsung dapat menyelaraskan semua projek perumahan rakyat di bawah satu bumbung,” katanya.
Sementara itu, Zuraida menjangkakan harga rumah bakal turun selepas pengenalan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula September ini.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan SST akan menyebabkan harga beberapa bahan pembinaan akan lebih rendah, sekali gus menjadikan nilai kediaman lebih murah.










