KUALA LUMPUR 20 Julai – Kementerian Wilayah menyangkal dakwaan kementerian itu tidak meluluskan peruntukan bajet untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan di seluruh wilayah.
Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, pihak kementerian tidak menghentikan sebarang pembayaran kepada kontraktor utama dan menghormati kontrak mereka.
“Saya akan mengadakan pertemuan dengan semua kontraktor utama dalam tempoh dua minggu dari sekarang bagi membincangkan tentang prestasi kontraktor di setiap kawasan Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Majlis Menteri Wilayah di Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz. – UTUSAN ONLINE










