SOCHI – Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic mengakui pasukannya bersiap sedia untuk menghadapi England di pentas separuh akhir Piala Dunia walaupun terpaksa beraksi dalam masa tambahan dan penalti.
Croatia mara ke saingan empat pasukan terbaik selepas membenam cabaran pasukan Denmark 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di pusingan kedua dan turut menewaskan pasukan tuan rumah, Rusia (4-3) selepas permainan terikat 2-2 pada aksi suku akhir di Stadium Fisht awal pagi semalam.
Kali terakhir Croatia mara ke pentas separuh akhir Piala Dunia pada tahun 1998 di Perancis, namun tewas kepada pasukan tuan rumah dengan keputusan 1-2.
Oleh itu, Dalic yakin skuad The Blazers mampu mengatasi cabaran England di Moscow awal pagi Khamis untuk memburu tiket ke final pada 15 Julai meskipun terpaksa mengheret perlawanan tersebut ke masa tambahan.
“Sudah pasti pemain kami mempunyai tenaga yang mencukupi untuk beraksi menentang England. Rata-rata pemain menunjukkan kualiti terbaik dan saya yakin kami mampu mengatasi England nanti.
“Tahniah kepada semua pemain yang beraksi dengan begitu baik dan tidak lupa juga kepada Rusia yang memberikan cabaran sengit. Perlawanan hari ini begitu mencabar kerana masing-masing mencari kemenangan menerusi penentuan penalti dan kami bernasib baik muncul pemenang.
“Kini tumpuan kami pada aksi menentang England dan saya akui pemain mempunyai keinginan yang kuat menempah tiket ke final. Kami akan tampil dengan cara kami tersendiri dan rata-rata pemain mempunyai motivasi yang tinggi dan yakin mampu beraksi cemerlang,” katanya.
Pada aksi menentang Rusia, pasukan tuan rumah terlebih dulu membuka jaringan menerusi rembatan menarik Denis Cheryshev pada minit ke-31. Tersentak dengan keadaan tersebut, Croatia kembali menyusun strategi dan berjaya meraih gol penyamaan lapan minit kemudian menerusi Andrej Kramaric selepas mudah menanduk masuk hantaran Mario Mandzukic.
Permainan diheret ke masa tambahan selepas babak kedua perlawanan berakhir tanpa jaringan. Croatia akhirnya mendahului menerusi Domagoj Vida pada minit ke-101 dan hampir untuk menempah tiket ke separuh akhir, namun Rusia bangkit menyamakan kedudukan menerusi Mario Fernandes pada minit ke-115 untuk mengheret permainan ke penentuan penalti.
Impian pasukan tuan rumah ke separuh akhir tidak kesampaian apabila, dua pemainnya, Fyodor Smolov dan Fernandes gagal menyempurnakan sepakan penalti menyaksikan Croatia muncul juara dan akan bertemu England pada pertembungan kelompok empat terakhir di Stadium Luzhniki, Moscow awal pagi Khamis ini. – Agensi











