Chong Wei lebarkan kemenangan - Utusan Malaysia

Chong Wei lebarkan kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HASRAT jaguh perseora­ngan negara, Datuk Lee Chong Wei untuk merangkul gelaran ke-12 pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia terlaksana apabila menewaskan pemain Jepun, Kento Momota 21-17, 23-21 pada perlawanan akhir semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Meskipun melakar kemena­ngan straight-set pada aksi final yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu, Chong Wei tidak berdepan laluan mudah apabila dipaksa bekerja keras oleh bintang Jepun itu.

Pemenang tiga kali pingat pe­rak Sukan Olimpik itu me­ngakui puas dengan kemenangan tersebut apabila percubaannya me­rangkul gelaran ke-12 tahun lalu disekat musuh tradisi dari China, Lin Dan di pentas final.

“Memang sangat puas de­ngan gelaran Terbuka Malaysia ke-12 yang dirangkul hari ini (semalam). Sebenarnya saya berdepan tekanan pada edisi kali ini kerana ramai pemain-pemain muda yang semakin meningkat.

“Saya fikir, faktor utama kemenangan adalah fokus ketika mengutip mata demi mata serta tidak mudah berputus asa. Saya harap kemenangan ini mampu beri motivasi untuk kejohanan akan datang,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Tambah pemain berusia 36 tahun itu, sokongan padu penonton tempatan serta kehadiran ahli keluarga nyata membakar semangatnya untuk melakar kejayaan biarpun berdepan tekanan pada mata-mata akhir pada set penentuan.

Selain itu, dia turut mengakui kejuaraan ke-12 yang diraih semalam merupakan sesuatu yang luar biasa selain mengharapkan ada pemain-pemain lain mampu meleburkan rekodnya itu pada masa hadapan.

“Sebenarnya ia adalah perlawanan yang sangat sengit dan cukup seimbang. Sebenarnya tuah menyebelahi saya kerana ketika mencabar keputusan pada mata kemenangan, saya tidak pasti sama ada bulu tangkis keluar atau masuk.

“Bagi merangkul gelaran ke-12 adalah sesuatu yang mencabar untuk saya dan ia juga bakal jadi cabaran kepada pemain-pemain lain untuk meleburkan rekod ini.

“Saya harap ada pemain-pemain lain boleh atasi pencapaian ini pada masa hadapan,” ujarnya.

Mengulas mengenai kejohanan Terbuka Indonesia yang akan bermula esok, bekas pemain No. 1 dunia itu me­negaskan, dia hanya akan fokus kepada satu demi satu perlawanan dan enggan memikirkan untuk mencatat rekod baharu kejohanan.

“Pada Terbuka Indonesia, saya hanya perlu bermain se­perti biasa dan tidak boleh berjanji untuk muncul juara. Saya sentiasa ambil pendekatan fokus kepada satu demi satu perlawanan,” tambahnya.

Sekiranya Chong Wei berjaya merangkul kejuaraan pada Terbuka Indonesia itu nanti, dia akan melakar rekod baharu de­ngan menjadi pemain pertama memenanginya sebanyak tujuh kali.

Ini sekali gus mengatasi rekod legenda Indonesia, Ardy Wiranata dan Taufik Hidayat yang menjuarainya sebanyak enam kali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN