KUALA LUMPUR 5 Julai – Malaysia perlu mengadaptasi model ekonomi berteraskan prinsip Islam dalam usaha memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil dan saksama untuk rakyat di negara ini.
Itu antara cadangan yang dikemukakan oleh Prof. Anjung Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Tan Sri Dr. Kamal Mat Salih kepada Majlis Penasihat Kerajaan, hari ini.
Menurut Kamal, Model Ekonomi Islam (MEI) perlu dilaksanakan sebagai alternatif kepada Model Ekonomi Baru (MEB) yang disifatkan lebih tertumpu kepada pasaran dan pendekatan liberal.
“Dunia dan keadaan geopolitik kini sudah berubah dan kita harus mengadaptasi polisi yang sesuai mengambil kira keadaan semasa.
“Sepanjang 10 tahun lalu, saya telah membuat pelbagai kajian bagi menggantikan MEB kerana ia gagal menangani isu pengagihan kekayaan.
“Jadi, MEI ini dilihat mampu menggantikan dasar ekonomi sedia ada kerana ia satu model ekonomi yang bersifat terbuka, berintegrasi serta universal kepada semua kaum,” katanya kepada pemberita selepas bertemu Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, hari ini. – UTUSAN ONLINE











