GEMBIRA bukan kepalang Diajeng Lestari ketika menerima panggilan telefon yang mengatakan dia diterima sebagai Penyelidik Pemasaran di sebuah syarikat korporat di Jakarta.
Pada waktu itu dia berusia 25 tahun. Bagaimanapun, kegembiraan gadis tersebut bagaikan direntap pada hari pertama mula bekerja ekoran soalan stereotaip diajukan oleh rakan sekerjanya tentang penampilannya yang mengenakan hijab.
“Adakah anda pasti ingin mengenakan tudung? Saya bimbang ia mungkin membawa imej kurang bagus terhadap syarikat ini memandangkan ia menampakkan anda kelihatan ‘tertutup’,” ucap temannya itu.
Mendengar sahaja soalan tersebut, Diajeng pada awalnya sedikit marah telah bertekad untuk menjadi seorang Muslimah yang berpenampilan menarik dan versatil.
Bermula dengan carian di internet tentang tip fesyen, Diajeng membina identitinya sendiri dalam berfesyen. Banyak tip padanan pakaian ditemui di internet tentang cara bergaya.
Antaranya, padanan kemeja potongan kemas dengan riben di pinggang bersama kain labuh polos sesuai untuk wanita berhijab.
Disebabkan sibuk bekerja, butik online adalah cara yang terbaik untuknya mencari pakaian.
Malangnya, dia berdepan kesukaran untuk merealisasikan impian bergaya seperti yang dicadangkan oleh ‘gurunya’ itu memandangkan tiada satu pun platform online yang menyediakan varian pakaian untuk Muslimah meskipun perniagaan e-dagang sudah popular pada waktu itu.
Jika ada pun, hanyalah satu atau dua koleksi yang kebetulan terselit di antara rekaan moden yang pastinya sangat terhad dan kurang menarik.
“Terdapat pelbagai busana dijual, namun untuk gaya urban dan sederhana bercirikan Muslimah sejati memang sukar ditemui. Setelah membuat kajian, barulah saya mengetahui bahawa, pada waktu itu (sekitar tahun 2009) tiada butik khas untuk Muslimah.
Peluang
“Lantaran itu, saya tekad mengambil peluang untuk mewujudkan sebuah butik online yang menyediakan aksesori dan busana moden siap dipakai khusus untuk wanita Islam,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Majlis Pelancaran Butik Hijup pertama di Malaysia di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Itu adalah cerita di sebalik kewujudan label Hijup, pelopor fesyen sopan dari Indonesia yang cukup terkenal dalam kalangan Muslimah bukan sahaja di republik tersebut namun di seluruh dunia termasuk Malaysia, Britain, Australia, Amerika Syarikat dan Emiriyah Arab Bersatu.
Paling membanggakan, Hijup yang bermula pada tahun 2011 bukan sahaja pusat beli-belah online pertama untuk Muslimah, malah terbesar di dunia dengan hampir 300 jenama popular di bawahnya seperti Dian Pelangi, Allura, Barli Asmara, Hauri Woman, BIA by Zaskia, Mecca dan Cottonink.
Varian produk yang disediakan pula terdiri daripada gaya dan aksesori masa kini seperti kardigan, kot labuh pelbagai corak dan warna, selendang segera, palazo, kemeja potongan tunik, dres berkolar mantel dan baju luar (overall) pelbagai rekaan yang sangat comel.
Mesra disapa sebagai Ajeng, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hijup itu berkata, label Hijup pada awalnya hanya menghimpunkan 11 jenama pakaian wanita dari Indonesia di bawahnya dengan prospek sasaran dalam kalangan wanita Islam di republik tersebut.
“Antara produk awal yang diketengahkan pula termasuk abaya, kemeja pelbagai rekaan, dres, tudung dan juga kain labuh. Ciri yang kami gariskan pula ialah moden dengan potongan longgar, labuh dan tidak keterlaluan.
Butik fizikal
“Tanpa disangka, pengenalan Hijup mendapat perhatian ramai wanita termasuk pelbagai agama dan bangsa di serata dunia ekoran varian rekaan berkonsepkan sopan dan sederhana dan kemudahan jual-beli melalui maya yang melangkaui sempadan,” kongsi isteri kepada Achmad Zaky itu.
Ekoran popularitinya, ramai yang memohon agar Hijup mewujudkan butik fizikal bagi membolehkan peminat datang dan melihat sendiri fabrik, mencuba pakaian dan sebagainya.
Akhirnya, pada awal tahun 2018, butik pertama dibuka di Bandung, seterusnya di Palembang, Padang dan Lombok.
Jun lalu, istimewa buat peminat di Malaysia yang merupakan antara pelanggan global di Hijup, label ini telah melancarkan butik antarabangsa pertamanya di pusat beli-belah The Curve di Mutiara Damansara.
Antara yang paling gembira dengan pembukaan butik tersebut ialah, Intan Nabila Ridzwan, 26, dari Shah Alam.
“Saya mula berbelanja di Hijup sejak tahun 2013 iaitu ketika masih bergelar pelajar. Saya sukakan pilihan pakaian yang ditawarkan kerana walaupun gaya rekaan dan mungkin pemilihan fabriknya sedikit berbeza dari pilihan di Malaysia, bagi saya ia sangat unik dan moden.
Penasihat fesyen
“Paling penting, dengan Hijup, wanita automatik menjadi bijak memadankan pakaian. Ini kerana Hijup bukan hanya mempamerkan jualan, malah menyediakan kelengkapan dari baju bahagian dalam hingga ke luaran di dalam satu tempat,” ujarnya yang menyifatkan Hijup sebagai penasihat fesyen yang membantu penggayaan wanita tanpa mendedahkan aurat.
Sementara itu, Pengurus Rantau Hijup di Malaysia, Fify Alkathiry berkata, pihaknya percaya, antara sebab Hijup diterima dengan baik dalam kalangan pembeli di Malaysia adalah kerana ia menginspirasikan rekaan urban dan kotemporari.
“Walaupun stail itu pastinya berbeza, kenyataan bahawa kita (Malaysia dan Indonesia) ini satu rumpun, menjadi antara faktor koleksi Hijup boleh diterima oleh pembeli di Malaysia.
“Selain itu, saya fikir, Muslimah di Malaysia juga kini banyak yang gemar mencuba pelbagai rekaan yang kelihatan berbeza daripada orang kebanyakan. Ia lebih memberi nilai eksklusif dan berharga,” terangnya.
Menyediakan lebih daripada 20 pilihan jenama yang boleh didapati terus di butik di Malaysia, pelanggan antara lain boleh mendapatkan top pelbagai rekaan dari Dian Pelangi dan L. Bellaz, tudung dari Button Scarves serta hijab jenama tempatan, Aidijuma.
Untuk pembelian online, pembeli boleh berbuat demikian di www.hijup.com.my atau boleh juga memuat turun aplikasi Hijup di Google Play Store dan Apple App Store.
Hijup yang bermula pada tahun 2011 bukan sahaja pusat beli-belah online pertama untuk Muslimah, malah menjadi yang terbesar di dunia dengan hampir 300 jenama pakaian berkonsepkan sopan dan sederhana.










