KUALA LUMPUR 28 Julai – Buku yang ditulis anak Malaysia, ‘The Abundance Factor’ yang memaparkan kisah 43 pakar dalam pelbagai industri seluruh dunia dijual lebih sejuta naskhah di Amazon.com.
Penulisnya, Dr. Ravee Packirisamy berkata, pihaknya memasarkan buku berkenaan sejak Mac lalu dan berjaya menjadi buku terlaris dalam talian sebulan kemudiannya.
“Buku ini memberi banyak mesej ke seluruh dunia menerusi kisah dan pengalaman 43 pakar serta tokoh pelbagai industri di seluruh dunia.
“Saya dan rakan-rakan penerbit mengambil masa enam bulan untuk mengumpulkan kisah-kisah pakar-pakar berkenaan dan selama setahun untuk menerbitkannya,” kata beliau kepada pemberita pada majlis pelancaran buku tersebut di Sofitel Hotel Damansara, di sini hari ini.
Yang turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong.
Buku setebal 238 muka surat itu dijual pada harga AS$19.90 (RM80) senaskhah.
Kisah pakar-pakar yang dikumpul dalam buku tersebut terdiri daripada mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan, keusahawanan, kewangan, perubatan, spiritual dan banyak lagi.
Tambah Ravee, beliau menyasarkan para pembeli buku berkenaan adalah dalam kalangan ahli perniagaan dan juga mereka yang ingin mendapatkan sumber inspirasi.
Malah, jelasnya lagi, buku itu juga akan berada di pasaran Malaysia tidak lama lagi.
“Kita belum memasarkannya di Malaysia. Namun, kita percaya buku ini akan mendapat sambutan yang memberangsangkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE








