Bolot jawatan Speaker Perak, DAP semakin rakus - Utusan Malaysia

Bolot jawatan Speaker Perak, DAP semakin rakus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 3 Julai – Pemuda Pas Perak menyifatkan DAP semakin rakus dan menguasai Pakatan Harapan apabila memilih Penasihat DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

MOHD. AKMAL KAMARUDDIN
MOHD. AKMAL KAMARUDDIN

Ketuanya, Mohd. Akmal Kamaruddin berkata, pemilihan itu jelas menunjukkan sikap keras kepala DAP yang menuntut jawatan tersebut sehingga memaksa Ketua Penerangan PKR Perak, Senator Siti Aishah Shaik Ismail menarik diri daripada dicalonkan.

Menurutnya, DAP telah menggenggam erat Parti Amanah Negara (Amanah), kemudian mengikat PPBM dengan menundukkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan sekarang cuba memaksa PKR.

“Tidak cukup dengan menguasai lima kerusi exco kerajaan negeri Perak, mereka (DAP) juga menghambur ketidakpuasan hati terhadap jumlah jawatan Menteri dan Timbalan Menteri.

“Kerakusan DAP itu semakin ketara apabila tetap membolot jawatan Yang Dipertua (Speaker) DUN Perak dan ia layak dibaca sebagai usaha penguasaan DAP ke atas Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Koo Ham dipilih sebagai Speaker DUN Perak hari ini dalam pemilihan yang mencetuskan kekecohan apabila pihak pembangkang mempertikaikan nama Siti Aishah yang dicalonkan oleh PKR tetapi tidak disebut dalam senarai calon Speaker.

Menurut Mohd. Akmal, ini menunjukkan kuasa politik DAP yang sentiasa mahu pihak lain tunduk serta mengikut telunjuk parti itu semakin ketara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, biarpun bernama Parti Tindakan Demokratik, sebaliknya wajah sebenar DAP adalah sering bertindak secara tidak demokratik.

Katanya, jika selama ini DAP membayangi di belakang pihak-pihak tertentu yang diperalat atau dibonekakan, namun dengan kedudukan politik yang dimiliki ketika ini, DAP menjadi semakin angkuh.

“PKR dan PPBM serta seluruh ahli politik khususnya diingat agar mempunyai pendirian jelas dan tegas serta pertimbangan utuh terhadap kepentingan rakyat dan negara.

“Jangan kerana kepentingan politik, robekan dan gugatan yang dilakukan secara halus mahupun terang-terangan ini dibiarkan secara lewa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN