BN, Pakatan Harapan masuk gelanggang - Utusan Malaysia

BN, Pakatan Harapan masuk gelanggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPUAN rakyat Malaysia pasti terarah kepada Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Ke-14, Persidangan Dewan Rakyat yang bermula hari ini dengan wajah baharu, kerana buat pertama kali dalam sejarah negara menyaksikan Barisan Nasional (BN) duduk di bahagian pembangkang.

Bukan pertama kali Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anak­nya, Datuk Seri Mukhriz serta pengikut setianya, Tan Sri Muh­yiddin Yassin berada di sebelah kerajaan, namun hampir keseluruhan mereka yang duduk dalam barisan kerajaan kini merupakan muka-muka baharu.

Kredibiliti Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu mahupun Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pasti menjadi tumpuan, untuk menantikan bagaimana kecekapan mereka dalam sesi pertanyaan dan perbahasan.

Telah disahkan, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof bakal dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat Kesembilan, sudah tentu tanggungjawab berat menanti bekas Hakim Mahkamah Rayuan itu kerana tugas mengawal ragam ahli-ahli Parlimen bukan kerja mudah.

Sewaktu sidang terakhir Dewan Rakyat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia meluahkan perasaan dengan harapan satu undang-undang disediakan untuk menjaga kebajikan Yang Dipertua Dewan Rakyat ekoran sering berdepan tekanan untuk mengawal sidang mesyuarat.

Daripada 222 jumlah kerusi Parlimen, 124 dikuasai oleh Pakatan Harapan yang membolehkan parti itu membentuk kerajaan. Mengikut pecahan, 50 dimiliki oleh PKR, 42 oleh DAP, 13 oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (Amanah) memiliki 11 kerusi dan Parti Warisan Sabah (Warisan) lapan.

Daripada 124 itu juga, kira-kira 50 daripada mereka telah diumumkan sebagai anggota Kabinet, membuatkan lebih 70 lagi ahli Parlimen parti itu tidak mempunyai apa-apa peranan.

Bagaimanapun, mereka dijangka membentuk kumpulan penyokong kerajaan sepertimana Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) yang mempertahankan segala dasar dan tindak-tanduk BN semasa menjadi kerajaan.

Sementara itu, blok pembangkang diketuai BN dengan 54 kerusi menerusi UMNO 51, MIC dua dan MCA satu, sementara Pas memiliki 18 kerusi dan 26 lagi adalah bebas.

Berdasarkan pengalaman pertukaran parti pemerintah di peringkat negeri, persidangan pertama kebiasaannya agak ber­emosi, dipenuhi dengan pertikaman lidah atau kadangkala dilihat sebagai medan untuk ‘membalas dendam’ terhadap kerajaan dahulu dengan mendedahkan sebanyak mungkin ketidakcekapan yang berlaku.

Kerajaan Pakatan Harapan lebih awal lagi menyatakan komitmen mereka untuk membawa usul pemansuhan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta Akta Antiberi­ta Tidak Benar.

Jawatan Ketua Pembangkang pertama kali akan disandang oleh Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau perlu berhadapan caba­ran untuk mengubah minda BN menjadi pembangkang berwibawa, memimpin ahli-ahli seperti Khairy Jamaluddin yang baru-baru ini kecundang ketika merebut jawatan Presiden UMNO, selain bersemuka dengan beberapa ahli BN yang keluar parti.

Tidak kurang juga, Pakatan Harapan sendiri bergelut untuk membentuk sebuah kerajaan yang meyakinkan serta konsisten, yang pastinya berdepan tenta­ngan hebat daripada blok pembangkang atau BN yang berpe­ngalaman sebagai kerajaan Pusat.

Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pasti diberikan tumpuan yang buat pertama kali akan disampaikan di hadapan Pakatan Harapan dan BN secara serentak, sekali gus menzahirkan amalan demokrasi yang diharapkan oleh rakyat hasil keputusan PRU-14 yang telah mengubah landskap politik negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN