Blue Samurai pulang bermaruah - Utusan Malaysia

Blue Samurai pulang bermaruah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROSTOV-ON-DON 3 Julai – Keisuke Honda berkata, Jepun patut berasa bangga kerana tersingkir daripada Piala Dunia 2018 dengan cara paling bermaruah.

Pemain Blue Samurai terbaring di atas padang sejurus selepas Nacer Chadli meledak gol kemenangan Belgium pada minit ke-94 menerusi serangan balas pantas, iaitu percubaan terakhir yang dilakukan di Rostov Arena hari ini.

Belgium menang tipis 3-2 dan mara ke suku akhir, manakala Jepun terpaksa pulang biarpun mendahului perlawanan 2-0.

“Seperti yang anda lihat, kami tidak takut menentang Belgium dan kami buktikan sepanjang 90 minit permainan tetapi malangnya kami gagal memenangi perlawanan,” kata Honda.

Bintang tengah berusia 32 tahun itu dibawa masuk pada lewat permainan dan memaksa penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois menyelamatkan sepakan bebas yang dilakukannya pada waktu kecederaan.

“Belgium berhak menang tetapi saya sangat bangga dengan pasukan kerana kami bermain amat agresif.

“Saya rasa, semua rakyat Jepun patut berbangga dengan kami, jadi saya berpuas hati melihat persembahan kami di sini,” ujarnya lagi.

Belgium antara pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia 2018 dengan memiliki deretan bintang seperti Eden Hazard, Romelu Lukaku, Kevin De Bruyne, Axel Witsel dan Dries Mertens, namun Jepun terlebih dahulu mengejutkan Red Devils dengan mendahului dua gol.

Pemain sayap kelab Jerman, Hannover 96, Genki Haraguchi meletakkan Jepun di depan pada minit ke-48 apabila melakukan larisan deras sebelum melepaskan rembatan kaki kanan menewaskan Courtois.

Takashi Inui, yang beraksi bersama Real Betis di Sepanyol kemudian menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-52 menerusi rembatan yang sukar dibaca oleh Courtois.

Biarpun menunjukkan kualiti teknikal yang tinggi, selain dibarisi dua pertahanan kental, Maya Yoshida (bek tengah) dan Eiji Kawashima (penjaga gol), namun perubahan taktikal lawan menafikan impian Jepun untuk melangkah ke suku akhir buat kali pertama.

Tindakan pengendali Belgium, Roberto Martinez memasukkan Chadli dan Marouane Fellaini yang tinggi lampai menyukarkan pemain Jepun yang bertubuh kecil kerana skuad Red Devils mula melakukan hantaran-hantaran tinggi.

Jaringan Jan Vertonghen pada minit ke-69 memulakan kebangkitan Belgium, sebelum Fellaini menjaringkan gol penyamaan dan Chadli mengesahkan kemenangan mereka. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN