KUALA LUMPUR 23 Julai – Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) meminta Kementerian Pendidikan untuk memaklumkan secara rasmi berhubung isu penggunaan kasut hitam pelajar sekolah kepada pihak industri bagi mengelakkan masalah lambakan kasut tidak terjual.
Presidennya, James Loke berkata, ini kerana pihak industri sudah membuat tempahan awal dalam tempoh satu tahun untuk kasut sekolah berwarna putih bagi menjamin bekalan mencukupi pada tahun depan.
“Sekiranya cadangan penggunaan kasut hitam itu diteruskan, terdapat lambakan stok kasut sekolah berwarna putih yang tidak dijual di pasaran.
“Oleh itu, pihak kami berharap Kementerian Pendidikan memberikan kenyataan rasmi kepada pihak industri untuk membolehkan mereka dapat menyediakan perancangan yang lebih baik bagi mengelakkan lambakan stok kasut berwarna putih, “ katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Majlis Penasihat persatuan itu antaranya Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Sdn. Bhd., Datuk Ameer Ali, dan Pengarah Kewangan Bata (Malaysia) Sdn. Bhd., Duncan Cowe.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkaitan peraturan penggunaan kasut berwarna hitam kepada semua pelajar sekolah pada tahun depan.
Peraturan baharu tersebut dibuat selepas mengambil kira keluhan ibu bapa selain mahu meningkatkan keceriaan pelajar. – UTUSAN ONLINE










