MAE SAI 5 Julai – Para penyelamat Thai kini bertarung dengan masa untuk mengeluarkan 12 remaja dan seorang jurulatih pasukan bola sepak yang ditemukan selamat tetapi terangkap dalam kompleks gua Tham Luang di utara Thailand.
Kebimbangan kemungkinan berlaku hujan yang berterusan bermula esok boleh menyebabkan gua berkenaan dipenuhi air banjir dan menjejaskan misi menyelamat.
Sejumlah 13 set peralatan menyelam disediakan untuk pasukan tersebut yang terpaksa bertahan selama 12 hari di dalam gua berkenaan.
Malah, air dipam keluar dari gua sepanjang masa, mengurangkan jumlah air banjir sebanyak satu sentimeter (cm) sejam.
Gabenor wilayah Chaing Rai, Narongsak Osottanakorn yang mengetuai usaha menyelamat yang pertama seumpamanya mengakui bahawa misi pihaknya adalah usaha untuk mengelak banjir berlaku.
“Kebimbangan terbesar kami ialah cuaca. Kami sedang mengira berapa banyak masa yang ada jika hujan, berapa jam dan hari,” katanya kepada wartawan tanpa memberikan butiran lanjut.
Bagi tanda perlunya usaha berkenaan disegerakan, Osottanakorn berkata, penyelam Tentera Laut Diraja Thailand (SEAL) dan petugas kesihatan sedang menilai remaja berkenaan sama ada mereka sihat dan boleh dibawa keluar dengan segera.
Sebelum ini, Osottanakorn berkata, tidak ada risiko yang terpaksa diambil apabila pemindahan mangsa dibuat.
Bagaimanapun, usaha supaya mangsa berkenaan menyelam untuk keluar dilihat berisiko kerana penyelam profesional sendiri mengambil masa selama enam jam untuk sampai ke tebing berlumpur di mana kanak-kanak lelaki berada.
Kebanyakan anak muda yang berumur antara 11 sehingga 16 tahun tidak tahu berenang dan tiada pengalaman menyelam dan pakar SEAL sedang mengajar mereka asas-asas untuk menyelam.
Namun begitu, kawasan yang memerlukan selaman dilakukan untuk keluar sempit dan remaja mungkin terpaksa menyelam dalam air keruh secara sendirian.
Sementera itu, pakar gua juga mencari cerobong ke kawasan remaja berada sebagai pilihan kedua bagi perpindahan mangsa sekiranya berlaku hujan lebat.
Pihak berkuasa berharap mereka boleh menangani banjir berlaku dengan penggunaan pam berkuasa tinggi menyalurkan 128 juta liter (34 juta gelen) air setakat ini.
“Kami mengeluarkan air sebanyak mungkin,” kata Khao Khieupakdi, pegawai pencegahan bencana Bangkok, yang dipinjamkan ke utara Thailand seperti beberapa pakar lain.
“Saya bimbang kerana ramalan mengatakan lebih banyak hujan,” katanya. – AFP











