AMPANG JAYA – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos tidak dapat pulang ke rumah apabila terpaksa bermalam di Penjara Sungai Buloh, Selangor selepas Mahkamah Majistret Ampang di sini semalam tidak membenarkan dia dijamin atas pertuduhan melarikan daripada jagaan pihak polis pada Mei lalu.
Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan jaminan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.
Dalam prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin berkata, tindakan tertuduh yang melarikan diri sebelum ini adalah suatu penghinaan terhadap mahkamah.
“Ekoran tindakan tertuduh yang melarikan diri sehingga ke Indonesia telah menyusahkan ramai pihak sehingga polis terpaksa menggunakan khidmat polis Indonesia untuk menangkap tertuduh apatah lagi tertuduh tahu dia dikehendaki polis,” katanya pada prosiding itu.











