KANGAR 23 Julai – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, mahu wakil-wakil rakyat di negeri ini berganding bahu bersama-sama kerajaan negeri bagi mewujudkan suasana politik yang tenteram dan stabil.
Baginda bertitah, perkara itu penting agar pembangunan projek infrastruktur utama di negeri ini yang dirancang, dapat dilaksanakan segera dengan lancar dan berkesan.
“Hanya kerajaan negeri yang stabil boleh menjamin kelancaran program-program pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
“(Oleh itu) Beta menyeru semua wakil rakyat bersatu hati, bekerja dengan ikhlas dan meletakkan kepentingan negeri serta rakyat di hadapan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa berkenan berangkat mencemar duli menghadiri Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kali Ke-14 di Kompleks DUN, di sini hari ini.
Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Tuanku Syed Sirajuddin seterusnya bertitah, mahu kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat berusaha membina hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan meskipun Perlis kini berstatus negeri pembangkang selepas pilihan raya umum (PRU) lalu.
“Beta menyedari ini merupakan satu cabaran dan ditambah pula dengan kebergantungan negeri ini kepada kerajaan Persekutuan daripada segi peruntukan perbelanjaan operasi dan pembangunan,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan bahawa pembangunan di negeri ini masih bergerak perlahan berbanding negeri-negeri lain dan sehubungan itu meminta semua pihak berganding bahu memainkan peranan masing-masing.
“Ingatlah yang kerajaan negeri bertanggungjawab dan berperanan mewujudkan persekitaran kondusfi yang boleh membuka peluang kepada rakyat untuk memperbaiki taraf ekonomi mereka,” titah baginda lagi. – UTUSAN ONLINE










