BUENOS AIRES – Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) menafikan dakwaan mereka telah mencari pengganti kepada Jorge Sampaoli untuk mengisi posisi ketua jurulatih skuad kebangsaan pada peringkat antarabangsa.
Sebagai rekod, Sampaoli menerima kritikan hebat selepas pasukan kendaliannya tersingkir pada peringkat 16 pasukan terbaik Piala Dunia 2018 di Rusia apabila tewas 3-4 kepada pasukan juara, Perancis.
Susulan itu, Sampaoli mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya serta-merta dan kini AFA dilaporkan sudah berbincang dengan beberapa calon sesuai bagi membimbing La Albiceleste.
Difahamkan, antara nama yang dilihat berpotensi menggantikan Sampaoli ialah bekas pengendali pasukan Colombia, Jose Pekerman dan jurulatih skuad Peru, Ricardo Garcia.
“Selepas menerima peletakan jawatan Jorge Sampaoli minggu lalu, kami boleh mengesahkan bahawa pihak AFA masih belum berbincang dengan mana-mana jurulatih untuk menjadi penggantinya.
“Kami akan melakukan mesyuarat exco penghujung bulan ini untuk menilai beberapa calon yang dianggap bersesuaian sebelum membuat keputusan lanjut,” kata jurucakap AFA.
Sementara itu, naib presiden AFA, Daniel Angelici mengakui negaranya lebih cenderung untuk memilih Pekerman atau Alenjandro Sabella memandangkan kedua-duanya pernah mengendalikan skuad Argentina sebelum ini.
“Pekerman memiliki rekod yang baik di pentas antarabangsa dan begitu juga Sabella. Mereka memiliki pengalaman tetapi pihak kami perlu meneliti terlebih dahulu kekurangan pasukan sepanjang 10 tahun lalu,” katanya. – Agensi










