MOSCOW – Kejutan besar sekali lagi hampir berlaku dalam kempen Piala Dunia 2018 FIFA di Rusia apabila Belgium dipaksa bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum mampu menjinakkan pasukan kerdil dari Asia, Jepun 3-2 dalam aksi penuh dramatik di pusingan 16 pasukan terbaik di Rostov Arena, Rostov-On-Don, Rusia awal pagi ini.
Belgium yang turun selaku pasukan pilihan, dilihat gagal menyaingi kepantasan Jepun selepas dibolosi dua gol Genki Haraguchi dan Takashi Inui pada babak kedua.
Mujur gol Jan Verthongen, Marouane Fellaini dan jaringan lewat Nacer Chadli berjaya menyelamatkan maruah pasukan No. 3 dunia itu daripada tewas di tangan wakil tunggal Asia tersebut, sekali gus mengelak menerima nasib yang sama seperti pasukan gergasi lain, Jerman, Argentina, Sepanyol dan Portugal yang pulang awal.
Kejayaan penuh dramatik ini menyaksikan Belgium berjaya melangkah ke suku akhir dan berpeluang memburu kejuaraan Piala Dunia pertama dalam 13 penyertaan mereka.
Pencapaian terbaik mereka setakat ini ialah mara ke separuh akhir pada edisi 1986 di Mexico sebelum tumpas kepada juara Argentina manakala pada edisi di Brazil empat tahun lalu pula mereka berjaya mara ke suku akhir, namun turut disekat Argentina 1-0.
Jepun pula yang layak menerusi peraturan ‘fair play’ setelah terikat sama dengan Senegal, dilihat sebagai pasukan mudah dalam saingan kalah mati.
Skuad Samurai Biru itu membuktikan sebaliknya apabila berjaya memaksa Belgium bekerja keras untuk menewaskan mereka setelah berjaya mengejutkan lawannya itu dengan dua gol babak kedua hasil jaringan Haraguchi pada minit ke-48 dan Inui (52).
Namun, Belgium bukan calang pasukan apabila berjaya bangkit menyamakan kedudukan hasil tandukan dua pemainnya, Jan Verthongen (69) dan Fellaini (74).
Ketika pemainan seperti disambung ke masa tambahan, muncul Chadli yang menolak masuk gol kemenangan Belgium pada masa kecederaan, sekali gus memastikan pasukannya mara ke suku akhir untuk bertemu Brazil awal pagi Sabtu depan. – K! ONLINE










